comscore
Tumpuan :
Nasional

PM seru tingkatkan penguasaan bahasa Inggeris, kuasai bahasa Melayu tanpa tolak ansur

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersalaman bersama orang ramai ketika Majlis Kesyukuran Setahun Pentadbiran Perdana Menteri dan Kerajaan Madani di Putrajaya.

PUTRAJAYA: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar mahu mutu penguasaan bahasa Inggeris dalam kalangan murid dipertingkatkan mulai tahun depan manakala kedudukan bahasa Melayu dikuasai tanpa tolak ansur.

Perdana Menteri berkata, ini kerana penguasaan sekurang-kurangnya dwi bahasa penting dan menjadi penekanan dalam kalangan negara maju.

“Sekarang ini kita bicara mutu pendidikan, bahasa Melayu bahasa utama, mesti dikuasai tanpa tolak ansur oleh semua pelajar tetapi kita harus cuba memikirkan kaedah baharu untuk meningkatkan mutu penguasaan bahasa Inggeris.

“Jadi mulai tahun depan, mutu penguasaan bahasa Inggeris harus ditingkatkan selain mempertahankan kedudukan bahasa Melayu,” katanya.

Anwar berkata, semua murid dan pelajar terutama di sekolah kebangsaan perlu diberi penekanan supaya penguasaan bahasa Inggeris menjadi lebih baik berbanding sekarang.

Bagaimanapun, beliau meminta supaya tidak ada mana-mana pihak yang melihat seolah-olah kerajaan hanya memberi keutamaan kepada penguasaan bahasa Inggeris.

“Jadi jangan ada yang pertikai lagi seolah-olah (kerajaan) memberi keutamaan bahasa Inggeris, kita meninggalkan bahasa Melayu…tidak.

“Kalau nak negara ini terangkat keupayaan ekonomi dan kemajuannya, bahasa Melayu mesti menjadi bahasa ilmu, bahasa utama dan dikuasai dengan baik oleh semua rakyat Malaysia termasuk di sekolah swasta dan antarabangsa.

“Kalau anak itu anak Malaysia, wajib menguasai bahasa Melayu dengan baik. Jangan kita pandang ringan hal ini,” katanya.

Loading...
Terkini