Tumpuan :
Nasional

PM seru henti ketirisan subsidi pendidikan anak golongan kaya – PM

Foto hiasan

PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyeru agar ketirisan subsidi pendidikan melibatkan anak golongan kaya harus dihentikan di negara ini.

Ujarnya, subsidi yang disalurkan sepatutnya hanya kepada golongan rentan demi memastikan anak-anak mereka dapat melanjutkan pelajaran di sektor pendidikan kerajaan.

“Dalam teguran saya ini tidak makna nak nafikan kejayaan besar, bagi saya kejayaan ekonomi baharu kejayaan terbesar mobiliti sosialnya ratusan ribu anak miskin dapat kemudahan pengajian tinggi dan kursus.

“Cuma masalah harus kita fikir sekarang, ialah bagaimana kita buat penilaian peratusan anak miskin ke sekolah sains, Maktab Rendah Sains Mara (MRSM), kolej melayu ketimbang mewakili golongan elit,” jelasnya.

Dari sudut kerajaan jelasnya, subsidi yang tinggi disalurkan bagi menyediakan sektor pendidikan yang terbaik buat pelajar yang layak.

Namun, sebaliknya tidak munasabah katanya apabila majoriti menerima manfaat adalah anak kepada golongan elit.

“Sekadar saya faham majoriti dapat manfaat golongan yang elit, pegawai kanan penjawat awam, pimpinan politik, pengusaha terkenal, dihantar ke sekolah baik yang dibiaya kerajaan dengan kadar tinggi yang meletakkan kita paling tidak munasabah dan tidak adil.

“Sepatutnya anak orang kaya itu dihantar ke fakulti kejuruteraan, baik Melayu, Cina atau Iban dia bayar dengan cara itu kita boleh menampung kekurangan kalau tidak subsidi ini berterusan.

“Hasil ini akan digunakan untuk membantu tambahan kepada rakyat miskin. Saya tegaskan sekali, mengapa saya sepanjang hari di Kapit, kebetulan diantara daerah terpencil dan kadar kemiskinan tertinggi. Kalau negara ini memaknai kemerdekaan dan kebebasan serta keadilan, maka fokus harus ke situ,” tegasnya lagi.

Justeru, ujar Anwar, keadilan pendidikan perlu diberi perhatian agar ketirisan subsidi kerajaan ini tidak berlaku.

“Bagaimana kita harus lakukan dengan memastikan dana diagihkan, bagaimana diagihkan dana. Bentuk ketirisan termasuk anak-anak golongan paling kaya jika di sekolah menengah sains dibantu dengan subsidi tinggi kerajan harus dihentikan.

“Ini saya hanya berikan maklum awal sebelum umum Belanjawan 2025 bulan depan. Negara kalau benar mahu adil, harus adil bagi golongan memerlukan termasuk golongan rentan, anak-anak austism yang harus diberikan perhatian kalau tidak, tidak ada makna ihsan dan ekonomi MADANI,” katanya lagi.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Simposium Kebangsaan: Menoktah Kemiskinan 2024 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini, hari ini.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa

Loading...
Terkini