Oleh: Farah Nabilah Wazer
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, hari ini menunaikan solat Jumaat bersama lebih 5,000 jemaah di Masjid India.
Ketibaan beliau pada jam 1.20 petang disambut mesra oleh pengurusan masjid dan para jemaah, yang mengambil kesempatan untuk bersalaman dan bergambar bersama pemimpin nombor satu negara itu.
Anwar turut mendengar khutbah bertajuk Memuliakan Rejab, Menggarap Mustajab yang disampaikan oleh Imam Nasrul Haq Abdul Latif.
Menariknya, khutbah di Masjid India kali ini disampaikan dalam Bahasa Melayu, berbeza daripada kebiasaan yang menggunakan Bahasa Tamil.
Khutbah tersebut mengingatkan bahawa dalam Al-Quran, terdapat empat bulan ‘haram’ daripada 12 bulan dalam kalendar Hijriah yang dimuliakan, iaitu Zulkaedah, Zulhijjah, Muharam, dan Rejab.
Khutbah itu ijug amenyentuh keistimewaan bulan-bulan berkenaan kerana amalan baik dilipatgandakan pahalanya, manakala dosa yang dilakukan membawa kesan lebih besar.
Masjid India, yang berusia lebih 160 tahun, dibina oleh pedagang India Muslim yang berniaga di kawasan itu.
Sejak memegang tampuk pemerintahan pada November 2022, Anwar menjadikan kunjungan ke masjid-masjid terpilih di seluruh negara sebagai rutin mingguan setiap hari Jumaat.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.