Oleh: Zulfakhri Shamsul Ariffin
BUTTERWORTH: Siasatan terhadap Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) berhubung dakwaan penglibatan kartel dalam pengedaran dan pembekalan kontrak baja padi perlu diserahkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pihak berkuasa mempunyai hak untuk menjalankan siasatan terhadap mana-mana agensi kerajaan.
“Saya dah lama marah kepada kartel ini, kartel ini maknanya apa? Kelompok kecil jaga dia (sesama mereka) bukan jaga rakyat.
“Siapa sahaja tanpa terkecuali, kalau ada kes, SPRM masuk. Kalau kes jenayah, PDRM (akan) masuk, tak kira dia jabatan apa, pangkat apa, syarikat kerajaan ka atau syarikat swasta.
“Nafas betul bebas tetapi di bawah pengawasan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan” katanya pada Karnival Penjaja dan Peniaga Kecil Kebangsaan 2024 (HPPK2024).
Dalam ucapan sama, Datuk Seri Anwar menegaskan beliau tidak akan menghalang sebarang bentuk siasatan melibatkan Khazanah Nasional Bhd.
Katanya, meskipun beliau mempengerusikan Khazanah, beliau tidak akan menghentikan sebarang siasatan berkaitan kes lalu atau sekarang.
“Ada saja laporan, sama ada Perdana Mneteri pengerusi ataupun tidak.
“Kalau salah siasat, kalau salah dakwa, kalau salah hukum, saya tidak peduli. Baru kita boleh perintah dengan adil,” katanya
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.