![](https://media.buletintv3.my/2023/02/CMS-PPZ-2023-02-04T173218.610.jpg)
JOHOR BAHRU: Sultan Ibrahim Iskandar berkenan berangkat memenuhi undangan Perdana Menteri bagi mengadakan pertemuan di Seri Perdana, kediaman rasmi beliau di Putrajaya, hari ini.
Pada pertemuan itu, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah mempersembahkan taklimat kepada Sultan Ibrahim berkenaan lawatan kerja baginda ke Singapura, pada 30 Januari lalu.
Pada 31 Januari lalu, Perdana menteri berkata, Malaysia dan Singapura bersetuju mengadakan rundingan lebih terperinci terhadap langkah republik itu menambak kawasan sekitar Batu Puteh dalam masa terdekat.
![](https://media.buletintv3.my/2023/02/CMS-PPZ-2023-02-04T173235.594.jpg)
Beliau membangkitkan perkara itu dalam pertemuan bersama Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong pada lawatan rasminya Isnin lalu.
“Keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) sudah tetapkan Batu Puteh milik Singapura, jadi bila ada penambakan itu (di Batu Puteh) bagi Singapura, mereka ikut keputusan perundangan yang dah diputuskan.
“Namun Malaysia minta Singapura teliti semula kerana setiap tambakan beri kesan sampingan kepada iklim, persekitaran dan persempadanan negara kita.
“Jadi saya dapat persetujuan Perdana Menteri Singapura supaya mendengar hujah kita dalam rundingan lanjut yang akan diadakan dalam masa terdekat,” katanya selepas mengakhiri lawatan rasmi ke Singapura, Isnin lalu.
Selain isu Batu Puteh, Anwar turut menyentuh isu tertunggak membabitkan bekalan air Malaysia-Singapura, ruang udara Malaysia selain kesesakan di Tambak Johor yang akan diatasi segera.