Oleh: Fatin Hanani Sahimi
PUTRAJAYA: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hadir menyantuni warga kerja Jabatan Perdana Menteri (JPM) pada Majlis Ihya’ Ramadan Perdana Menteri bersama warga JPM di Bangunan Perdana Putra di sini.
Pada majlis berkenaan Perdana Menteri menunaikan solat Zohor berjemaah dan mendengar tazkirah bersama lebih 400 warga JPM yang juga merupakan kementerian pertama disantuni beliau bagi program tersebut.
Program yang diadakan di pelbagai kementerian sepanjang bulan Ramadan ini bertujuan menjadikan Ramadan sebagai madrasah rohani, bukan sahaja dalam aspek ibadah, tetapi juga pembentukan nilai dan akhlak dalam pentadbiran negara.
Turut hadir Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar dan Mufti Wilayah Persekutuan, Sahibus Samahah Datuk Prof. Madya Dr. Luqman Abdullah.
Pada sesi tazkirah yang disampaikan Datuk Luqman bertajuk ‘Puasa dan Hikmah MADANI: Keseimbangan antara Material dan Spiritual’, beliau menekankan kepentingan umat Islam menahan nafsu dalam melakukan ibadah Ramadan serta menyentuh mengenai pengurusan masa meladani Ukhrawi dan duniawi.
“Sebagai individu yang bijak, pengurusan masa adalah aspek yang sangat penting dalam kehidupan manusia. Oleh itu, urusan ukhrawi juga amat perlu diberi perhatian.
“Dalam Surah Al-Asr, Allah SWT menekankan tentang kepentingan masa dalam kehidupan manusia. Allah memberikan peluang kepada kita untuk menggandakan ibadat dengan dua cara: pertama, dengan melakukan ibadat di tempat yang mulia, dan kedua, dengan memanfaatkan masa yang diberikan.
“Kemuliaan masa ini akan menggandakan pahala dengan berlipat kali ganda. Pengurusan masa yang baik, terutamanya dalam konteks ukhrawi, adalah penting untuk mencapai kejayaan di akhirat,” katanya.
Terdahulu sebelum program bermula, Anwar mengadakan perjumpaan bersama Pengurusan Tertinggi JPM bagi membincangkan isu-isu berbangkit di kementerian dan agensi.
Beliau seterusnya dijadual menyantuni 11 kementerian lain diikuti Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) dan Kementerian Kewangan pada 5 dan 6 Mac.
Kemudian ia disusuli, Kementerian Peralihan Tenaga Dan Transformasi Air (PETRA) (10 Mac), Kementerian Belia dan Sukan (KBS)(11 Mac), Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (13 Mac), Kementerian Pertahanan (14 Mac), Kementerian Pendidikan Tinggi (17 Mac), Kementerian Pendidikan (20 Mac), Kementerian Kesihatan (24 Mac), Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (25 Mac) dan Kementerian Dalam Negeri (27 Mac).
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.