comscore
Tumpuan :
Nasional

PM rasmi projek Kereta Kabel Bukit Bendera

Oleh: Selwam Arjunan

GEORGE TOWN: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini merasmikan projek Kereta Kabel Bukit Bendera, di sini, yang akan menjadi laluan pengangkutan awam kedua ke puncak bukit itu selain tren funikular.

Beliau berkata permulaan projek berkenaan menandakan langkah penting dalam usaha negeri untuk meningkatkan infrastruktur pelancongan Pulau Pinang, memperbaiki ketersambungan dan akses ke Bukit Bendera, di samping mengubah destinasi bersejarah itu wajib dikunjungi pelancong.

“Majlis ini istimewa buat saya dari segi nostalgia kerana pengalaman saya mendaki Bukit Bendera jalan kaki pada waktu muda dahulu. Dan sekarang seolah-olah satu pusingan saya kembali ke sini untuk merasmikan projek kereta kabel sebagai langkah kemajuan seterusnya buat Bukit Bendera.

“Sementara menghargai usaha kerajaan negeri dengan kerjasama swasta untuk membangunkan infrastruktur yang canggih dengan teknologi moden yang tinggi sambil memelihara alam sekitar, saya mahu tekanan aspek kebudayaan Pulau Pinang juga perlu diterapkan dalam rekabentuk senibina bangunan ini.

“Ini penting untuk kita terus memelihara keunikan kebudayaan Pulau Pinang sementara memacu pembangunan yang pesat demi kemudahan dan keselesaan masyarakat,” katanya ketika merasmikan Majlis Pecah Tanah Kereta Kabel Bukit Bendera di Taman Botani, di sini, pagi tadi.

Turut hadir, Ketua Menteri, Chow Kon Yeow; Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong Kim Sing dan Pengarah Eksekutif Kumpulan Hartasuma, Tan Sri Ravindran Menon.

Ujar Datuk Seri Anwar lagi, ia antara beberapa projek berimpak tinggi yang mampu memacu pembangunan Pulau Pinang sebagai hub pelancongan dan sektor pembuatan di rantau Asia Tenggara.

“Sekarang kita rasmikan projek kereta kabel ini yang akan siap dibina pada tahun 2026.

“Projek Pembesaran Lapangan Terbangan Antarabangsa Pulau Pinang di Bayan Lepas kita jangka akan bermula tahun ini juga.

“Projek LRT (Transit Aliran Tinggi) juga telah dimulakan. Jadi saya ucapkan tahniah kepada Chow kerana sedang membawa Pulau Pinang dalam landasan yang betul,” katanya lagi.

Projek mercu tanda yang diilhamkan oleh Perbadanan Bukit Bendera dengan kerjasama Hartasuma yang dianugerahkan hak konsesi selama 30 tahun menerusi Kerjasama Awam-Swasta yang berasaskan kerja reka bentuk, kewangan, bina, kendali dan pindah.

Jajaran kereta kabel ini akan bermula dari stesen Taman Ekonomi di Taman Botani dan berakhir di puncak Bukit Benderam di belakang Balai Polis Bukit Bendera dengan laluan sepanjang 2.7 kilometer dilengkapi 50 gondola lapan tempat duduk, dengan masa perjalanan kurang 10 minit.

Menurut Kon Yeow, projek berkenaan akan membantu mengurangkan kesesakan pelancong pada musim puncak mengambilkira ia menerima 1.67 juta pengunjung pada tahun 2023, iaitu menghampiri angka pra-pandemik sebanyak 1.9 pengunjung pada tahun 2019.

“Penambahan sistem kereta kabel ini akan menyediakan pilihan kedua yang amat diperlukan untuk menaiki bukit, mengurangkan tekanan kerana tren funikular dan selari dengan Pelan Induk Pelancongan Pulau Pinang serta Wawasa 2030 Pulau Pinang.

“Pembangunan ini bertujuan untuk mengurangkan kesesakan, menambahbaik infrastruktur dan mengukuhkan kedudukan Bukit Bendera sebagai destinasi utama di Malaysia,” katanya.

Kereta kabel berkenaan akan berfungsi sebagai pintu masuk ke Rizab Biosfera Bukit Bendera, yang merupakan salah satu Rizab Biosfera UNESCO, memacu transformasi Bukit Bendera dan kawasan sekitarnya.

Projek kereta kabel berkenaan juga akan menyelesaikan masalah trafik yang menjejaskan kawasan sekitar Taman Botani Pulau Pinang pada ketika ini, di mana barisan kenderaan mencecah hingga ke jalan utama, menyebabkan masalah keluar masuk yang teruk.

Bagi mengatasi masalah dan mengurangkan kesesakan di kawasan tersebut, sebanyak 700 ruang parkir akan disediakan untuk kenderaan persendirian dengan kawasan parkir bas yang khusus bakal dibuka bersebelahan Jabatan Taman Botani.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini