![](https://media.buletintv3.my/2024/07/DOuSejIg-BULETIN-TV3-M-16.jpg)
KUALA LUMPUR: Datuk Awang Bemee Awang Ali Basah, yang dilantik sebagai Yang Dipertua Dewan Negara yang baharu mempunyai pengalaman luas di peringkat negeri dan Persekutuan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam reaksinya terhadap pelantikan itu berkata, Datuk Awang Bemee mampu mengangkat martabat Dewan Negara ke tahap yang lebih tinggi.
Pelantikan bekas Ahli Dewan Undangan Negeri Nangka, Sarawak itu adalah bagi menggantikan Datuk Mutang Tagal yang meninggal dunia pada 10 Mei lepas.
“Hadir ke Dewan Negara pagi ini bagi pelantikan Yang Dipertua Dewan Negara yang baharu, Datuk Awang Bemee Awang Ali Basah.
“Pengalaman luas beliau, baik di peringkat negeri dan persekutuan, pastinya mampu mengangkat martabat Dewan Negara ke tahap yang lebih tinggi lagi,” kata Datuk Seri Anwar dalam catatan terbaharu menerusi Facebook beliau.
Datuk Seri Anwar mengemukakan nama Datuk Awang Bemee, yang juga calon tunggal sebagai cadangan nama ahli untuk dipilih pada Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga Parlimen ke-15 hari ini.- BERNAMA
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa