KUALA LUMPUR: “Saya sampaikan pesanan supaya semua anggota bertugas dengan penuh disiplin dan integriti.” kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim kepada anggota kastam dan imigresen ketika membuat lawatan mengejut ke Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP).
“Pastikan tiada lagi kecurangan dalam kalangan anggota yang boleh menyebabkan kerugian berbilion ringgit kepada negara,” katanya.
Perdana Menteri melalui perkongsian di Facebook berkata, lawatan beliau ke LTAPP itu bertujuan untuk melihat sendiri pengurusan dan fasiliti lapangan terbang, serta penugasan anggota khususnya Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM).
Ia susulan lawatan Perdana Menteri ke Pulau Pinang semalam, dengan pengisian jadual padat sepanjang sehari di negeri itu.
Minggu lalu, Jemaah Menteri meluluskan usaha pembesaran LTAPP yang menelan kos melebihi RM1 bilion dengan Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) akan bertanggungjawab bagi proses tender dan pembiayaan projek berkenaan.
Selasa lalu, Perdana Menteri ketika berucap pada Majlis Perhimpunan Bulanan Bersama Warga Kementerian Kewangan memberi peringatan kepada semua agensi penguatkuasaan termasuk JKDM, Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan Jabatan Imigresen supaya mengelakkan salah laku, rasuah serta kecurangan.
Beliau menegaskan, pihaknya sedang memantau secara dekat semua agensi berkaitan supaya tidak terpalit dengan isu berkenaan.
SPRM sebelum ini mendedahkan jumlah ketirisan akibat kegiatan sindiket penyeludupan membabitkan beberapa anggota Kastam di Kargo Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di Sepang mencecah RM2 bilion bagi tempoh tiga tahun lalu.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, dilaporkan berkata setakat ini seramai 34 anggota penguat kuasa dan 27 individu serta pemilik syarikat ditahan menerusi Ops Samba 2.0 kerana melindungi dan memudahkan aktiviti penyeludupan sindiket itu.
Anggota dan pegawai penguat kuasa berusia 30 hingga 50 ditahan dipercaya menerima wang rasuah lebih RM4.7 juta daripada sindiket bagi memudahkan kegiatan penyeludupan tembakau kunyah, rokok, arak, produk kesihatan dan alat ganti kenderaan.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.