
Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin
PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan mempengerusikan mesyuarat khas bagi membincangkan perkara dasar berkaitan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JSSEZ) pada 28 Februari ini.
Jurucakap Kerajaan MADANI, Fahmi Fadzil berkata, mesyuarat yang diadakan di antara Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri Johor itu antara lain bagi membolehkan penyelarasan menyeluruh dilaksanakan yang turut membabitkan beberapa kementerian.
Beliau yang juga Menteri Komunikasi memberitahu, antara kementerian terbabit ialah Kementerian Pengangkutan, Kementerian Kewangan (MOF), Kementerian Ekonomi, Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Kementerian Peralihan Tenaga Dan Transformasi Air (PETRA).
“Ini merupakan salah satu usaha untuk ‘fast track’ perbincangan mengenai JSSEZ dan diharap akan dapat menyelesaikan beberapa perkara supaya zon ini dapat dipercepat penubuhannya,” katanya pada sidang media, di sini hari ini.
Tambahnya, beberapa keputusan akan dibuat hasil daripada mesyuarat berkenaan untuk mempermudah pembentukan zon tersebut.
Ditanya garis masa penubuhan zon terbabit, Fahmi berkata, ia bergantung kepada isu yang dibangkitkan merangkumi aspek sempadan, imigresen dan kewangan.
“Setiap kementerian akan ada proses sendiri tapi bila dipertemukan Perdana Menteri dan Menteri Besar Johor maka signal kepada kami di Putrajaya adalah kita perlu percepat proses tersebut termasuk sekiranya kita perlu lakukan sejumlah perincian dasar untuk diputuskan Jemaah Menteri,” katanya.
Terdahulu, Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan, Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia Johor, Lee Ting Han dilapor berkata, kerajaan negeri Johor merancang membangunkan JSSEZ dengan menggabungkan dua elemen utama iaitu teknologi tinggi dan hijau.
Bagi tujuan itu, jelasnya, kerajaan negeri Johor akan menjadikan dua bandar di China iaitu Shenzen dan Guangzhou sebagai model pembangunan berikutan kejayaan dua bandar berkenaan yang ditransformasikan oleh China daripada perkampungan nelayan kepada bandar metropolis.
Penganalisis Maybank Investment Bank Bhd (Maybank IB), Wong Wei Sum pula dipetik berkata, JSSEZ dijangka dibangunkan di kawasan Sedenak, Johor dengan keluasan 2,950 hektar iaitu di atas tanah milik Johor Corporation (JCorp) yang juga anak syarikat kerajaan negeri Johor.
Menurutnya, bank pelaburan itu berpendapat simpanan tanah yang besar selain kos tanah yang agak rendah akan dapat menarik minat pelabur asing seperti yang berlaku di Iskandar Puteri.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.