
Oleh: Syafiqah Damanhuri
CYBERJAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim optimis Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) mampu memperoleh kutipan hasil cukai yang lebih tinggi pada tahun ini.
Selaku Menteri Kewangan, beliau percaya agensi berkenaan dapat mencapai tahap yang lebih baik dengan pelaksanaan sistem baru yang boleh meningkatkan kecekapan.
“Saya optimis dan bangga dengan prestasi Hasil dalam dua tahun terakhir. Saya rasa ia lebih teratur, lebih tersusun dan instrumen baru telah diperkenalkan seperti e-invois yang telah banyak membantu.
“Saya percaya jika kita dapat mengekalkan satu standard dan disiplin, kita akan dapat mencapai kejayaan yang lebih baik.” Katanya ketika ditemui pada Majlis Sambutan Hari Hasil ke-29 di Menara Hasil di sini.
Dalam ucapannya, Anwar memaklumkan sejumlah RM184.805 bilion hasil cukai berjaya dikutip pada tahun lalu berbanding tahun sebelumnya, RM183.3 bilion.
Tambahnya, pihaknya juga tidak memberi ruang kepada orang ramai terutama golongan atasan dan maha kaya untuk terlepas daripada memenuhi tanggungjawab mereka sebagai rakyat dan warganegara.
Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada rakyat atas kepatuhan mereka membayar cukai, terutamanya tokoh-tokoh korporat utama yang tanpa kecuali telah memenuhi tanggungjawab mereka.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.