comscore
Tumpuan :
Gaya Hidup

PM New Zealand nikmati juadah Malaysia air tangan Khairul Aming

Khairul menyediakan juadah sarapan tradisional Malaysia seperti roti jala untuk hidangan Christopher Luxon. – Foto IG Khairul Aming

KUALA LUMPUR: Pempengaruh dan usahawan popular, Khairul Aming mencuri tumpuan apabila dikunjungi Perdana Menteri New Zealand, Christopher Luxon di sebuah restoran di ibu kota, hari ini.

Melalui video dimuatnaik di Instagram (IG), Khairul memberitahu, pertemuannya bersama Luxon adalah sebagai tanda penghargaan dari pihak New Zealand untuk video percutian sambil memasak yang dihasilkannya di negara berkenaan.

Pada pertemuan itu, Khairul atau nama sebenar, Khairul Amin Kamarulzaman, 32, turut mengadakan perbincangan mengenai pertukaran pelancongan antara Malaysia dan New Zealand.

“Saya mengambil kesempatan untuk memperkenalkan sarapan pagi Malaysia sambil bertukar pendapat mengenai pelancongan antara Malaysia dan New Zealand, perdagangan eksport daging, tenusu halal, pemeliharaan alam semula jadi dan potensi eksport produk perusahaan kecil sederhana tempatan ke New Zealand.

“Lapan tahun lalu, saya merakam video memasak pertama sambil duduk atas lantai. Hari ini, saya mendapat keistimewaan duduk di sebelah Perdana Menteri dari negara terkenal,” tulisnya.

Pada masa sama, Khairul memberitahu, pertemuan itu dapat direalisasikan selepas membuat persiapan rapi dengan kedutaan New Zealand yang akhirnya membolehkan mereka bertemu hari ini.

Sementara itu, melalui video berkenaan, Khairul sempat beramah mesra sambil menyediakan juadah sarapan tradisional Malaysia bersama Luxon.

“Untuk permulaan KA (Khairul Aming) jemput Perdana Menteri New Zealand, Christopher Luxon untuk sesi bergambar dulu, kemudian pergi ke sesi memasak.

“Hari ini, kita sediakan menu sarapan tradisional Malaysia, roti jala dan teh tarik. Selepas itu, sediakan cendol. Saya tahu cendol bukan makanan untuk sarapan, tapi bagi pencuci mulut.

“Pada masa sama, saya perkenalkan kuih tradisional Malaysia termasuk produk Dendeng Nyet dan Sambal Nyet Berapi. Kemudian, iringi masuk ke dalam dan makan nasi lemak.

“Sepanjang sesi itu, kita ada bincang mengenai pertukaran pelancongan antara Malaysia dan New Zealand,” kata Khairul.

Khairul sudah terbabit dalam bidang penyediaan kandungan dalam media sosial selama sembilan tahun berkata, dia bersyukur apabila pertemuan itu berjalan lancar.

“Alhamdulillah, pertemuan berjalan dengan lancar dan video masak yang dibuat di New Zealand diterima baik kerajaan New Zealand.

“Siapa sangka dulu buat video masak atas lantai dekat rumah sewa, hari ini dapat duduk bersebelahan Perdana Menteri terkenal dunia,” katanya.

Terdahulu, Khairul mengumumkan dirinya tampil dengan siri memasak baharu yang dijalankan di New Zealand sebanyak sembilan episod.

Menurutnya, ia adalah untuk mengejar minatnya sambil mengembara ke luar negara.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini