Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin
PUTRAJAYA: Jemaah Menteri dan seluruh penjawat awam diminta untuk mempunyai kesatuan pemikiran selain tidak mengamalkan budaya selesa dalam usaha mengangkat semula martabat bangsa serta negara.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata dalam apa-apa jua sistem, perlu ada keinginan dan hasrat untuk membawa perubahan.
“Sistem yang bergerak puluhan tahun sudah mantap tapi harus ada kesediaan rendah diri untuk mengakui, ada kekuatannya, tetapi bila kita letak tokoh baharu harus ada hasrat bawa perubahan. Jadi tidak benar kalau kita katakan bahawa kita harus ada budaya selesa iaitu ‘culture of contentment’ yang menggigit kita,” katanya pada sesi Perjumpaan Perdana Menteri bersama warga Jabatan Perdana Menteri (JPM) bagi bulan Januari di sini hari ini.
Anwar berkata, sekiranya ada pendekatan mudah dalam pentadbiran negara, semua pihak akan bersatu dan bekerjasama.
Namun, katanya, semua pihak perlu belajar menerima kekuatan, mengakui kelemahan dan bertekad menyatakan bahawa negara memerlukan kestabilan politik.
“Harus jelas hala tujunya dan harus kuat keinginan hasrat membawa perubahan untuk mengangkat semula martabat bangsa dan negara. Kalau ada kesatuan pemikiran ke arah itu, maka saya percaya kita boleh lakukan,” katanya.
Pada masa sama, Anwar turut membidas segelintir pihak yang mempertikaikan tindakan kerajaan dalam menyelesaikan masalah rakyat.
Beliau berkata, segala tindakan dilaksanakan dengan cekap dan telus.
“Baru-baru ini kita menggesa satu tindakan yang lebih agresif bukan untuk mengambil tindakan tetapi melepaskan masalah pekerja kerana pekerja asing dalam industri perladangan, pembuatan dan bidang-bidang tertentu di negara sangat kurang.
“Ia menjejaskan kadar pertumbuhan negara kita. Saya lihat Jabatan Imigresen sambut baik. Apa-apa tindakan harus lebih telus dan ketelusan itu penting,” katanya.
Beliau berharap segala perubahan yang dilaksanakan akan mendapat sambutan hangat daripada semua jabatan.