Tumpuan :
Nasional

PM nafi tarif elektrik naik 14 peratus

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Anwar Ibrahim menafikan dakwaan tarif asas elektrik di Semenanjung akan meningkat 14 peratus, bermula Julai ini.

Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan bagaimanapun menjelaskan kenaikan tarif elektrik tetap akan berlaku dengan kadar bakal ditetapkan selepas semakan semula nanti.

Ketetapan itu, katanya, perlu dibuat memandangkan kenaikan kadar tarif elektrik perlu berlaku, berpandukan kapasiti dan harga pada tempoh tertentu.

“Mengenai isu Ketidakseimbangan Pelepasan Kos Bahan Api (ICPT), kadar pemindahan elektrik bukan 14 peratus. Tidak!

“Seperti yang anda tahu, kajian semula setiap enam bulan adalah berdasarkan harga semasa. Justeru, saya tidak fikir ia akan menjadi sesuatu yang terlalu membebankan atau merugikan masyarakat.

“Kita bersedia untuk mendengar (pandangan pelbagai pihak mengenai cadangan kenaikan tarif elektrik).

“Namun, sudah pasti ia bukan seperti yang dikatakan. Ini sebabnya saya baru sahaja semak dengan Zafrul (Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz) sekiranya saya tersilap fakta,” katanya.

Ahli Parlimen Tambun itu berkata demikian ketika berucap pada Majlis Sambutan Tahun Baharu Cina anjuran Gabungan Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Malaysia (ACCCIM) di sini, hari ini.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini