Oleh Zulfakhri Shamsul Ariffin
KUALA LUMPUR: Kerajaan menafikan dakwaan rundingan dengan China mengenai isu pertikaian kawasan cari gali minyak di Laut China Selatan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kenyataan mengenai tuduhan yang dilemparkan kepadanya ketika lawatan kerja ke negara berkenaan adalah tidak betul.
“Ini tak betul, saya pergi ke China, di hadapan Presiden China kita kata, kita jaga prinsip kita.
“PETRONAS dapat cari gali besar-besaran di Laut China Selatan dan saya sudah bagi kelulusan untuk teruskan,” katanya.
Jelasnya, beliau telah menyatakan kepada China bahawa projek cari gali perlu diteruskan kerana ia berada di kawasan perairan negara.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Nur Ramadan Wilayah Persekutuan di Masjid Ar-Rahah, Kampung Kerinchi petang tadi.