Tumpuan :
Nasional

PM nafi Akta PSB pinggirkan Bumiputera, jamin hak terpelihara

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menepis dakwaan beberapa pihak yang masih memainkan isu terkait Akta Pembaharuan Semula Bandar (Akta PSB), sekali gus menegaskan tidak timbul isu Bumiputera dipinggirkan daripada arus kemajuan bandar.

Setiausaha Akhbar Kanan kepada Perdana Menteri, Tunku Nashrul Abaidah berkata, Perdana Menteri menegaskan undang-undang yang akan dibawa ke Parlimen kelak, tidak akan memaksa mana-mana pemilik rumah atau tanah untuk diusir.

“Akta itu juga tidak akan mengubah peratusan pemilikan Bumiputera atau mengubah komposisi etnik di sesuatu kawasan.

Oleh itu, tidak timbul isu Melayu Bumiputera dipinggirkan daripada arus kemajuan bandar kerana matlamat utamanya adalah memastikan peningkatan kualiti hidup masyarakat bandar, sekali gus meningkatkan kualiti hidup masyarakat Melayu itu sendiri,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Taklimat Harian Pejabat Perdana Menteri yang disiarkan di Facebook PMO Malaysia, hari ini.

Tunku Nashrul turut menyampaikan ingatan Perdana Menteri supaya rakyat tidak mudah terpengaruh dengan sebarang kenyataan fitnah yang tidak berasas.

“Mengambil contoh terbaru, terdapat hantaran di laman sosial yang mengulangi naratif fitnah usang dan jahat, bertujuan menimbulkan kegusaran awam mengenai laungan azan.

“Naratif seperti ini akan muncul setiap kali musim pilihan raya. Budaya seperti ini perlu dinoktahkan segera bagi mengelak kesan buruk kepada masyarakat dan negara,” katanya.

Sementara itu Perdana Menteri meminta Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) memperkemas penyelarasan kekuatan jentera persekutuan dan negeri bagi memastikan bantuan dapat disalurkan secara berterusan.

Tunku Nashrul Abaidah berkata, Perdana Menteri turut meminta NADMA untuk bekerjasama rapat dengan kerajaan negeri bagi memudahkan penyaluran bantuan kepada ketua isi rumah mangsa banjir yang terbabit.

“Perdana Menteri hari ini memberi perhatian khusus kepada situasi banjir yang berlaku di Sabah dan Sarawak ketika ini,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini