Oleh: Selwam Arjunan
PERMATANG PAUH: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyeru rakyat membezakan antara kritikan dan fitnah dilemparkan pihak tertentu serta melakukan penilaian yang adil terhadap beliau dan Kerajaan Perpaduan sepanjang tujuh bulan diberikan amanah untuk mentadbir negara .
Menurut Anwar, beliau mengakui dirinya tidak sempurna sebagai seorang pemimpin, namun kritikan yang dilakukan ke atasnya perlu berlandaskan pada fakta dan bukannya fitnah yang tidak berasas.
Katanya, pelbagai keputusan yang dilakukan beliau diputarbelit meskipun ia dilakukan dengan mengambilkira kepentingan negara dan rakyat.
“Kita selesaikan masalah sempadan (antara Sabah dan Indonesia), dia kata saya khianat jual tanah. Saya tanya jual yang mana? Khianat mana? Tanah mana kita lepaskan? Tak jawab, tapi sudah jadi kempen di merata tempat.
“Tak boleh. Politik ini bukan fitnah. Boleh kritik saya, saya bukan betul semua. Saya pun ada kekurangan, kelemahan yang saya tak tahu. Bagitahu saya boleh, tapi cerca dan fitnah tak boleh, sama ada pakai kopiah, ketayap, kot. Sama ada cina, melayu, fitnah tak boleh,” katanya ketika berucap di Majlis Kenduri Quran di Masjid An-nur Guar Perahu, di sini.
Anwar juga menyelar pihak tertentu yang menggunakan isu agama untuk melancarkan serangan politik bagi memaparkan seolah-olah beliau bertentangan dengan penyuburan syiar Islam di negara ini.
Katanya, sejak mengambil alih pentadbiran negara, beliau sentiasa mengambil inisiatif serta menyokong segala usaha untuk pembangunan agama Islam.
Malah, beliau menjadikan kediaman rasmi Perdana Menteri, di Seri Perdana sebagai pusat untuk memartabatkan syiar Islam dan pembangunan umatnya terus diperkasakan di bawah konsep Malaysia Madani serta menambahkan peruntukan untuk sekolah agama rakyat dan sekolah pondok.
“Pada tahun 1999 semasa saya dipenjara, Perdana Menteri ketika itu potong semua peruntukan untuk sekolah agama rakyat (SAR). Semua dibatalkan, semua bantuan kerajaan ditarik balik.
“Tetapi apabila sekarang saya dilantik Perdana Menteri, saya bagi arahan untuk pulih semula semua SAR, diberi bantuan dan dibaiki. Di Pondok Meleleh di Kedah baru-baru ini pun saya umum beberapa peruntukan.
“Jadi ini beza antara serangan politik dan fitnah. Saya nak bagi tahu, tak pa kalau dengar kepada siapa pun, tetapi bagi penilaian yang adil.. Jadi minta tolong dengar dan buat penilaian yang betul,” katanya lagi.