comscore
Tumpuan :
Nasional

PM, Menteri Pertahanan teliti isu peletakan jawatan pegawai kanan pengurusan LTAT

PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dipercayai meneliti isu peletakan jawatan tiga pegawai kanan pengurusan Lembaga Tabung Angkatan Tentara (LTAT).

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil, bagaimanapun berkata, setakat ini Jemaah Menteri belum menerima makluman berhubung perkara berkenaan.

“Kami belum lagi menerima pemakluman terkini, apakah statusnya, tetapi saya percaya Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan ada meneliti perkara ini.

“Isu terbabit juga tidak dibincangkan pada mesyuarat Jemaah Menteri hari ini. Sekiranya ada pemakluman nanti, akan diumumkan kemudian,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Sebelum ini, media melaporkan tiga pegawai kanan pengurusan LTAT meletakkan jawatan mereka sejak sebulan lalu dalam tabung persaraan untuk 120,000 anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) itu.

Isu terbabit bermula apabila Ketua Eksekutifnya, Datuk Ahmad Nazim Abd Rahman mengumumkan pengundurannya berkuat kuasa 31 Januari lalu.

Susulan itu, Pengerusi LTAT, Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor pula mengumumkan peletakan jawatannya seminggu kemudian.

Kemudian, Pengarah Kanan Strateginya, Dayana Rogayah Omar turut dilaporkan mengemukakan surat peletakan jawatannya itu bagi mengejar kepentingan lain.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini