
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menghadap Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim bagi menyembah maklum beberapa urusan negara dalam lawatan rasminya ke Bahrain, hari ini.
Anwar berkata, beliau turut bertanya khabar mengenai keadaan kesihatan Sultan Ibrahim yang baru saja menjalani rawatan konservatif bagi kesakitan ‘musculoskeletal’ (otot dan tulang) yang dialami baginda.
“Alhamdulillah, saya juga berkesempatan bertanya khabar kesihatan Baginda Tuanku usai menjalani rawatan tempoh hari.
“Semoga Baginda Tuanku terus dikurniakan keafiatan yang baik untuk memayungi negara, insya Allah,” kata beliau melalui Facebooknya, hari ini.
Semalam, Istana Negara memaklumkan Sultan Ibrahim selamat menjalani rawatan konservatif bagi kesakitan ‘musculoskeletal’ di luar negara dan dijangka berangkat pulang ke Malaysia pada Jumaat ini.
Baginda berangkat ke luar negara pada 7 Februari lalu bagi menjalani rawatan berkenaan.
Perdana Menteri tiba di Bahrain pagi tadi sempena lawatan rasmi bagi mengukuhkan hubungan bilateral sedia ada antara Malaysia dengan Bahrain.

Beliau tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Bahrain pada 12.45 tengah malam waktu tempatan (5.45 pagi waktu Malaysia) dan disambut Menteri Luar Bahrain, Dr Abdullatif Rashid Al Zayani; Timbalan Gabenor Muharraq, Brigedier Jeneral Jassim Mohammed Al Ghattam; Duta Bahrain ke Malaysia, Dr Waleed Khalifa Al Manea serta Duta Besar Malaysia ke Bahrain, Shazryll Zahiran.
Ini adalah lawatan pertama beliau ke negara itu sebagai Perdana Menteri dan ia menjadi lebih bersejarah kerana atas jemputan Putera Mahkota, Sheikh Salman Hamad al-Khalifa yang juga Perdana Menteri Bahrain.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.