Tumpuan :
Nasional

PM menghadap Sultan Brunei bincang isu ASEAN

FOTO; Anwar Ibrahim/ Facebook

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, hari ini menghadap Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah, di Bandar Seri Begawan bagi membincangkan pelbagai isu penting berkaitan negara anggota ASEAN serta mendapatkan nasihat, memandangkan Malaysia akan memegang jawatan Pengerusi ASEAN pada tahun ini.

Anwar yang berlepas ke Brunei Darussalam memaklumkan bahawa sesi perbincangan tersebut turut dihadiri oleh bekas Perdana Menteri Thailand, Thaksin Shinawatra, yang juga Ketua Kumpulan Penasihat Tidak Rasmi kepada Pengerusi ASEAN 2025.

“Tiba di Bandar Seri Begawan dan terus ke Istana Nurul Iman bagi menghadap Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang di-Pertuan Negara Brunei Darussalam.

FOTO; Anwar Ibrahim/ Facebook

“Perbincangan kami tertumpu kepada Kepengerusian ASEAN 2025 dan kepentingan mendapatkan nasihat serta panduan Paduka Seri Baginda Sultan sebagai pemimpin paling senior dalam kalangan pemimpin ASEAN yang memiliki pengalaman dan pengetahuan luas,” katanya dalam satu hantaran di Facebook rasminya, hari ini.

Anwar turut memaklumkan bahawa beberapa isu utama dibincangkan dalam pertemuan itu, termasuk situasi semasa di Myanmar.

“Antara perkara yang disentuh adalah perkembangan di Myanmar, di mana meskipun negara itu terikat dengan Konsensus Lima Perkara, segala usaha perlu terus digerakkan bagi memastikan proses penglibatan dengan semua pihak berkepentingan dapat diteruskan.

“Kami juga menyuarakan kebimbangan terhadap peningkatan masalah berpunca daripada ekonomi gelap, termasuk penyeludupan dadah, pemerdagangan manusia, serta penipuan dalam talian (scam) yang semakin berleluasa,” katanya.

FOTO; Anwar Ibrahim/ Facebook

Selain itu, perbincangan turut menumpukan kepada penyelesaian terbaik bagi menangani krisis di Myanmar serta memastikan semua Menteri Luar ASEAN sentiasa dimaklumkan mengenai perkembangan terkini.

Dalam pertemuan tersebut, isu pertikaian di Laut China Selatan turut dibincangkan, dengan kedua-dua pemimpin bersetuju bahawa pendekatan diplomatik secara multilateral perlu diperkukuh.

“Kami bersetuju bahawa rundingan mengenai Kod Tatalaku (Code of Conduct, CoC) perlu dipercepatkan bagi memastikan kestabilan di rantau ini.

“Selain itu, fokus utama turut diberikan kepada usaha memperkukuh perdagangan intra-ASEAN serta meningkatkan kerjasama ekonomi, termasuk keperluan membangunkan rangka kerja peraturan yang lebih mesra perniagaan dan berkesan.

“Pendekatan strategik dalam hal ini adalah menggalakkan aliran modal yang lebih aktif serta merangsang pertumbuhan ekonomi serantau yang lebih kukuh demi kemakmuran bersama,” katanya.

Anwar turut menyentuh isu berkaitan mata wang kripto, dengan menekankan kepentingan membangunkan infrastruktur Blockchain yang kukuh bagi menyokong pertumbuhan sektor digital.

Dalam pertemuan tersebut, kedua-dua pemimpin turut membincangkan keperluan untuk mempercepatkan Sidang Kemuncak ASEAN-Amerika Syarikat (AS), yang dicadangkan selaras dengan Pemukiman Menteri-Menteri Luar ASEAN pada Januari lalu.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini