Tumpuan :
Nasional

PM mahu perubahan drastik penyelarasan gaji penjawat awam

Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: Penyelarasan gaji penjawat awam menerusi kajian Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) perlu membabitkan perubahan drastik.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, anjakan penyelarasan gaji itu mengambil kira keperluan semasa.

“Anjakan ini perlu. Fahaman mengenai anjakan ini tidak sangat mendalam. Anjakan paradigma ini bukannya kita buat pindaan sikit-sikit, tidak. Bila kata anjakan ini, ia membabitkan perubahan yang agak drastik seperti penyelarasan gaji harus ada anjakan.

“Bukan perubahan sikit-sikit seperti elaun tambahan, tidak, tetapi mesti melihat keperluan negara ketika ini ketimbang 20 tahun lalu dalam penyelarasan gaji,” katanya ketika menyampaikan ucaptama pada Majlis Perasmian Sambutan Hari Profesion Teknikal Negara (HPTN) 2023, di sini hari ini.

Pada masa sama, Anwar merangkap Menteri Kewangan memberi jaminan penyelarasan gaji golongan profesion teknikal dalam perkhidmatan awam akan diberi keutamaan dalam kajian SSPA.

Sehubungan itu, beliau meminta badan profesional dalam profesion itu mengemukakan input munasabah dalam soal penyelarasan gaji tersebut.

“Kedudukan golongan ini dengan sendiri terangkat dan sangat kritikal. Sesuai dengan pengiktirafan itu saya telah beri komitmen dalam penyelarasan gaji, peranan profesion teknikal itu harus diberikan tempat yang sewajarnya,” katanya.

Sementara itu, Anwar mahu lulusan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) ditingkatkan kemahiran tambahan di bidang tertentu kerana ia dapat meningkatkan kadar upah mereka.

Ini kerana 97 peratus lulusan TVET kini memperoleh pekerjaan dengan majoriti gaji masih sekitar RM2,000.

“RM2,000 tidak cukup untuk hidup zaman sekarang tetapi kalau ada latihan seperti dilakukan Petronas di Sarawak dan pusat latihan di Sabah umpamanya.

“Dengan sendirinya selepas lulus ada peningkatan upah itu daripada RM2,000 ke minimum RM3,500 sampai ke RM5,000 dan untuk kimpalan, menurut Petronas sampai RM7,000,” katanya.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini