KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menggesa agar projek pembinaan Kompleks Sekolah Menengah Intergrasi Sains Tahfiz (SMISTA) milik Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) di Bukit Jalil disegerakan.
Jelasnya, meskipun projek berkenaan dijadualkan bermula sukuan kedua tahun 2025 dan dijangka siap pada tahun 2028, namun beliau berharap ia dapat disegerakan sebelum tempoh itu.
“SMISTA ada intergrasi diantara sains yang lebih luas, dan tahfiz mempelajari dan menghafal dengan harapan menghayati semangat Al-Quran menjadikan ktia manusia yang lebih sempurna atau insan soleh.
“Ini harapan kita, saya mahu SMISTA ini dilaksanakan segera, peruntukannya besar RM76 juta, tapi harus disegerakan.
“Saya minta saudara Datuk Mohd Naim Mokhtar (Menteri Hal Ehwal Agama) dapatkan laporan dalam tempoh satu minggu tentang perkembangannya, saya mahu proses tender dibuat teliti,”jelasnya.
Tambahnya, pembinaan SMISTA itu amat penting terutama dalam melahirkan lebih ramai generasi muda yang mampu membawa perubahan dalam masyarakat.
“Pertama, menyegerakan projek ini, projek ini dicadang sejak tahun 2011 hingga tahun 2013. Hanya tahun lalu saya dimaklum belum lulus, saya minta disegerakan kelulusan.
“Apa makna kita adakan sekolah menengah seperti ini gabungankan kekuatan tradisi islam dan moden sains, kerana kita nak hidupkan anak-anak muda roh perjuangan jihad yang hidup bawa perubahan pada masyarakat dan kebaikan,”katanya lagi.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Pecah Tanah Kompleks SMISTA di Bukit Jalil hari ini.
Hadir sama dalam majlis itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Mohd Naim Mokhtar dan Menteri Wilayah, Dr Zaliha Mustafa.
Kompleks SMISTA itu merangkumi blok asrama pelajar, blok pentadbiran, akademik, bilik darjah, makmal serta kemudahan asas yang mampu menampung 576 pelajar lelaki dan wanita.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.