Tumpuan :
Nasional

PM mahu kekal fokus tatakelola baik tahun hadapan

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada sidang media di Dorsett Grand Subang. – FOTO: NSTP

Oleh: Syafiqah Damanhuri

SUBANG JAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim kekal memberi fokus terhadap penambahbaikan isu tatakelola pada tahun hadapan.

Ujarnya untuk memajukan negara, perkara asas itu perlu diperbetulkan termasuk memerangi amalan rasuah.

“Keutamaan saya sebutkan tadi memastikan isu governance itu penting. Kerana kita dah merosot sekian lama.

“Rasuah, kerja ini dah jadi amalan dalam kerajaan, isu rasuah (ibarat) itu perkara kecil. Jadi menteri mesti kaya, apa salahnya ada satu dua bilion ringgit misalnya?

“Tapi saya tak kira, ini mesti dibetulkan. Sebab itu saya tekankan juga tatakelola, sebab ini paling tidak disenangi oleh sesetengah pihak,” katanya pada Sidang Media Perdana Menteri, di sini hari ini.

Justeru dalam pentadbiran kerajaan, beliau mahu Ketua Setiausaha (KSU), Ketua Pengarah (KP) wajib mengambil tindakan ke atas mereka yang melanggar amanah.

“Bagi saya kita kena betulkan ini. Allah bagi sihat, boleh jalan laju-laju, kita boleh pastikan (tatakelola baik).

“Ini bagi saya sangat penting, setakat satu tahun, dua tahun dia kena kekalkan beberapa tahun sehingga jadi budaya.

“Rakyat juga mesti faham masing-masing ada hak, kedudukan dan habuan dia. Masing masing tak boleh rompak kekayaan negara,” ujarnya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini