comscore
Tumpuan :
Nasional

PM luluskan pembesaran Lapangan Terbang Miri

MIRI: Datuk Seri Anwar Ibrahim bersetuju supaya Lapangan Terbang Miri terus diperbesar susulan peningkatan jumlah penumpang yang menggunakannya.

Perdana Menteri berkata, kadar pertumbuhan jumlah pengguna lapangan terbang berkenaan meningkat hampir 90 peratus berbanding tahun lalu, dan itu mewajarkan keperluan untuk meningkatkan lagi infrastruktur terbabit.

“Saya setuju untuk memberi perhatian dan dapat juga maklumat daripada Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, dan Kementerian Kewangan.

“Pada malam ini, wajar saya mengumumkan bahawa projek pembesaran Lapangan Terbang Miri itu kita luluskan,” katanya ketika berucap pada Jamuan Negeri di sini, malam ini, sempena lawatan kerja dua hari beliau ke Sarawak.

Turut hadir ialah Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Abang Openg; Yang Dipertua Dewan Negara, Datuk Awang Bemee Awang Ali Basah; Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar; Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, Tan Sri Mohamad Asfia Awang Nassar; serta beberapa menteri Persekutuan dan negeri.

Terdahulu pada petang tadi, Perdana Menteri merasmikan Program MADANI Rakyat (PMR) 2024 Sarawakku Sayang di pekarangan sebuah pusat beli-belah terkemuka, di sini.

Program itu dianjurkan oleh Pejabat Perdana Menteri melalui kerjasama strategik Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air selaku kementerian peneraju serta Kerajaan Sarawak sebagai tuan rumah.

Esok, Anwar dijadualkan ke Kapit di mana beliau akan meninjau beberapa projek infrastruktur Persekutuan dan menghadiri majlis ramah mesra bersama penduduk di bandar Kapit serta sebuah rumah panjang berdekatan. – BERNAMA

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini