Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] PM lawat sahabat lama

 

Oleh Selwam Arjunan

KEPALA BATAS: Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam lawatan pertamanya ke Pulau Pinang selaku Perdana Menteri sempat meluangkan masa untuk melawat sahabat lamanya yang kurang sihat.

Datuk Mohamed Yussof Abdul Latiff merupakan bekas Yang DiPertua Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) Pulau Pinang ketika Datuk Seri Anwar memimpin ABIM di peringkat kebangsaan.

Datuk Seri Anwar tiba di kediamannya di Kampung Banggol, Kepala Batas pada jam 5.50 petang diiringi isterinya, Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail dan ADUN Teluk Air Tawar, Mustafa Kamal Ahmad.

Beliau meluangkan masa kira-kira 30 minit bersama Datuk Yussof dan isterinya Datin Safiah Salleh bertanya khabar tentang kesihatan mereka.

Datuk Seri Anwar juga sempat menjamah jamuan ringan bersama keluarganya sebelum bergegas ke Solat Maghrib dan Tahlil di kampung halamannya di Cherok Tok Kun, Bukit Mertajam.

Ditemui selepas itu, Datuk Yussof berkata beliau bersyukur atas lawatan Perdana Menteri yang disifatkan tidak pernah lupa kawan lama.

“Alhamdulillah syukur, saya doakan mudah-mudahan beliau terus berkhidmat untuk kita semua kerana kebijaksanaannya diperlukan untuk mentadbir negara dan juga khususnya dunia Islam.

“Datuk Seri Anwar juga berpesan kepada saya supaya banyak bersabar dan ingat pada Allah SWT kerana dari dia kita datang, kepada dia kita kembali,” katanya.

Katanya, beliau berkhidmat bersama Datuk Seri Anwar dalam bidang pendidikan apabila bertugas sebagai pengetua pertama Sekolah Agama Al-Irshad di Tasek Gelugor dan seterusnya di ABIM.

Datuk Seri Anwar juga, katanya membawa beliau ke arena politik sehingga dipilih sebagai ADUN Sungai Dua dari tahun 1990 hingga 1995.

Bagaimanapun, beliau bersara dari politik selepas diserang angin ahmar pada tahun 1997.

Empat orang anak dan 11 cucunya turut menzahirkan rasa gembira dengan lawatan Datuk Seri Anwar walaupun dalam jadual yang padat.

Terdahulu, Datuk Seri Anwar menghadiri Rumah Terbuka Tahun Baru Cina anjuran Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow di Bayan Lepas.

Loading...
Terkini