Tumpuan :
Nasional

PM lawat DBKL, jumpa Ahli Parlimen Kuala Lumpur

FOTO: NSTP

Oleh: Juliana Sharin

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, hari ini mengadakan pertemuan dengan pengurusan tertinggi Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Pertemuan berlangsung di Menara 1 DBKL, juga merupakan lawatan kerja pertama beliau ke ibu pejabat pihak berkuasa tempatan (PBT) itu selepas dilantik sebagai Perdana Menteri.

Ketibaannya jam 9 pagi disambut Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali dan Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Mahadi Che Ngah, serta kira-kira 100 warga DBKL.

FOTO: NSTP

Berdasarkan maklumat awal, beliau hadir bagi mendengar taklimat serta penerangan mengenai pengurusan dan hal ehwal DBKL, yang diadakan secara tertutup.

Selepas mesyuarat itu, Datuk Seri Anwar dijangka mengadakan pertemuan dengan semua Ahli Parlimen Kuala Lumpur di lokasi sama, juga secara tertutup.

Antara Ahli Parlimen yang dilihat tiba di Menara 1 DBKL adalah Ahli Parlimen Titiwangsa, Datuk Seri Johari Abdul Ghani, Ahli Parlimen Bandar Tun Razak, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Ahli Parlimen Cheras, Tan Kok Wai dan Ahli Parlimen Bukit Bintang, Fong Kui Lun.

Kehadiran beliau itu juga dilihat sebagai langkah penting memandangkan ketiadaan portfolio Kementerian Wilayah Persekutuan dalam Kabinet Kerajaan Perpaduan setakat ini.

Loading...
Terkini