![](https://media.buletintv3.my/2025/02/ANWAR-IBRHAIM.jpg)
KUALA LUMPUR: Sempena sambutan Thaipusam minggu depan, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dijangka turun padang melawat Batu Caves, dekat sini, esok.
Lawatan itu bagi memastikan kemudahan di situ selesa bagi penganjuran acara keagamaan terbabit.
Perdana Menteri dijadual tiba pada jam 3 petang, bagi bertemu komuniti India selain melawat kawasan sekitar yang akan menjadi tumpuan sempena Thaipusam kelak.
“Saya akan ke Batu Caves dan bertemu komuniti India selain melawat kawasan sekitar yang akan menjadi tumpuan sempena Thaipusam kelak untuk memastikan kemudahan di situ benar-benar selesa dan dalam keadaan baik,” katanya dalam catatan di media sosial, hari ini.
Thaipusam akan disambut Selasa ini oleh penganut Hindu yang mana mereka kebiasaannya berarak dan berkumpul di Kuil Sri Subramaniyar, Batu Caves.
Sebelum ke Batu Caves, Perdana Menteri terlebih dahulu akan menunaikan Solat Jumaat bersama warga Ampang di Masjid Al-Mardhiyah, Taman Melawati.
Selepas itu, pemimpin negara berkenaan dijadual menyantuni dan makan tengah hari bersama rakyat di Medan Selera Anjung, Taman Melawati, sebelum bergerak ke Batu Caves.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.