comscore
Tumpuan :
Nasional

PM lancar laporan Indikator Kos Sara Hidup

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, memegang Buku 75 tahun Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) selepas melakukan gimik perasmian pada majlis sambutan Ulang Tahun Jubli Intan ke-75 DOSM di PICCA Convention Centre@Butterworth Arena di sini, hari ini.- FOTO: NSTP

BUTTERWORTH: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini melancarkan laporan Indikator Kos Sara Hidup (KSH) 2023 sempena Majlis Ulang Tahun Jubli Intan ke-75 Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), hari ini.

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, laporan yang julung kalinya dilancarkan itu merangkumi Perbelanjaan Asas Kehidupan Wajar (PAKW) dan Indeks Kos Sara Hidup (IKSH).

“PAKW dibangunkan oleh DOSM untuk memberi nilaian kos kehidupan wajar.

“Pembangunan PAKW bermula pada 2018 dengan mengambil kira corak perbelanjaan isi rumah berdasarkan Survei Pendapatan dan Perbelanjaan Isi Rumah.

“Ia juga merujuk kepada jumlah perbelanjaan bulanan diperlukan isi rumah atau individu untuk mencapai kehidupan wajar yang memenuhi keperluan, kehendak dan kemampuan menyertai aktiviti kemasyarakatan.

“Nilai PAKW ditentukan oleh dua faktor utama iaitu lokasi dan ciri demografi seperti umur, jantina dan saiz isi rumah.

“Justeru, nilai PAKW bagi setiap isi rumah berbeza bergantung kepada ciri-ciri demografi dan lokasi tempat kediaman,” katanya di sini, hari ini.

Mohd Uzir berkata, PAKW dibangunkan atas prinsip keperluan melebihi minimum dengan mengambil kira tiga aspek kehidupan wajar iaitu keperluan, kehendak dan penyertaan sosial berdasarkan corak pendapatan atau perbelanjaan isi rumah.

“Ia turut mengambil kira kos makan di luar dan konsep minimum pelbagai untuk pilihan perbelanjaan makanan.

“Dari segi komponen makanan, PAKW mengambil kira keperluan diet asas yang memenuhi keperluan pemakanan seimbang mengikut Piawaian Pengambilan Nutrien yang Disyorkan (RNI), Kementerian Kesihatan (KKM).

“Kalkulator PAKW yang dikenali sebagai MyPAKW dibangunkan untuk menganggar jumlah perbelanjaan asas bagi taraf kehidupan,” katanya.

Katanya, MyPAKW membolehkan orang ramai mengetahui nilai rujukan mereka bagi perbelanjaan asas kehidupan di kawasan dan lokasi masing-masing.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini