Oleh: Syafiqah Damanhuri
PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim melancarkan Kiosk Sentuhan MADANI yang pertama.
Inisiatif itu bagi memudahkan orang ramai untuk menggunakan perkhidmatan kerajaan di pusat membeli-belah pada bila-bila masa.
Hadir bersama Perdana Menteri, Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dr Zaliha Mustafa.
Fahmi berkata ini merupakan inisiatif terbaik dengan enam kiosk automatik berasaskan konsep digital.
“Ini yang pertama, kami dimaklumkan set kedua akan dipasang di KL Sentral.
“Manakala ada sejumlah set akan diuruskan kemudian. Pelbagai perkhidmatan dirangkum untuk diletakkan dalam satu tempat,” katanya ketika ditemui media selepas merasmikan kiosk berkenaan di Alamanda Putrajaya.
Beliau juga berharap lebih banyak sektor korporat untuk tampil membantu secara CSR menyediakan perkhidmatan seperti ini di tempat masing-masing.
“Saya difahamkan kosnya tidak terlalu tinggi. Dengan kerjasama semua pihak kita pasti lokasi seperti pusat membeli belah dan tempat orang ramai memang sesuai untuk kemudahan perkhidmatan kerajaan dan selaras Malaysia Madani,” ujarnya.
Inisiatif itu untuk memudahkan akses rakyat kepada perkhidmatan kerajaan melibatkan Jabatan Pengangkutan Jalan, Pos Malaysia, Suruhanjaya Syarikat Malaysia, Tenaga Nasional Bhd, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja dan MyDigital ID.
Media sebelum ini melaporkan ikhtiar itu bakal dilaksanakan di 38 kawasan tumpuan seperti di pusat beli-belah bagi memudahkan rakyat berurusan dengan kerajaan di luar waktu pejabat.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.