Oleh: Syafiqah Damanhuri
PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim meluncurkan bantuan wakaf khusus untuk keperluan Universiti Al-Quds, sekolah dan hospital di Baitulmaqdis, Palestin.
Ujarnya usaha itu termasuk dengan menjalinkan kerjasama dengan universiti tempatan bagi memperkukuh kegiatannya.
“Saya harap dengan usaha ini kita dapat tingkatkan usaha dan khidmat kita meringankan beban mereka kerana sedia maklum masih ada universiti di Baitulmaqdis bergantung kepada bantuan umat.
“Kita akan luncurkan pada malam ini, pihak kerajaan InsyaAllah akan terus memberikan ruang dan bantuan supaya universiti itu tertegak, saya telah minta mereka bincang dengan Kementerian Pendidikan Tinggi, universiti tempatan untuk adakan jalinan hubungan memperkukuh kegiatan universiti tersebut,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapannya di Majlis Ilmu MADANI di Masjid Putra yang turut dihadiri Imam Masjid Al-Aqsa Palestin, Sheikh Dr Ekrima Said Sabri.
Tambahnya, Sheikh Dr Ekrima turut memohon rakyat Malaysia yang dilihat sentiasa di hadapan dalam memberikan sokongan kepada Palestin.
“Mohon kerjasama rakyat meneruskan agenda ehsan kita, tanggungjawab kita meringankan beban mereka sama ada di Gaza atau Baitulmaqdis bantuan kemanusiaan diteruskan.
“Sheikh mohon supaya kita bantu kemajuan di Baitulmaqdis, suasana di masjidnya, jamiah Al-Quds yang berpengkalan di Baitulmaqdis serta madrasah-madrasah di sekitarnya,” ujarnya.
Terdahulu Perdana Menteri dan lebih seribu jemaah menunaikan solat Maghrib dan Isyak yang diimamkan Sheikh Dr Ekrima.
Turut hadir, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Mohd Naim Mokhtar dan Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.