NEW YORK: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim akan mengetuai delegasi Malaysia ke Minggu Pemimpin Ekonomi Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) di San Francisco, California, Amerika Syarikat (AS) pada November ini.
Selain mesyuarat pemimpin APEC, kalangan pemimpin ASEAN kecuali Myanmar, turut dipelawa bagi mesyuarat berasingan oleh Presiden AS Joe Biden.
Datuk Seri Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata beberapa syarikat 500 Fortune yang ditemui di New York antaranya Google turut meminta bertemu beliau pada acara APEC nanti.
APEC yang ditubuhkan pada 1989, adalah satu forum ekonomi serantau bagi memanfaatkan kebergantungan yang saling meningkat di Asia Pasifik.
Tema APEC kali ini adalah Mencipta Masa Depan Yang Berdaya Tahan dan Mampan Untuk Semua.
Selain itu, 21 anggota Ekonomi APEC menyumbang hampir 40 peratus daripada penduduk global atau hampir 50 peratus daripada perdagangan global serta lebih 60 peratus eksport barangan AS.
Negara anggota APEC tersebut adalah Australia, Brunei, Kanada, Chile, China, Hong Kong, Malaysia, Indonesia, Jepun, Korea, Mexico, New Zealand, Papua New Guinea, Peru, Filipina, Rusia, Singapura, Taipei, Thailand, AS dan Vietnam.