Oleh: Juliana Sharin
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri menjelaskan bahawa kehadirannya ke Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2023 buat julung kalinya selepas 25 tahun bagi menyempurnakan tugas kepada negara.
Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata beliau selesa dan senang untuk mengikuti pembukaan PAU 2023 kerana telah terbiasa dengan suasana parti itu.
“Yang penting menyempurnakan tugas kepada negara, pengalaman peribadi itu penting tetapi ia tidak boleh mengatasi kepentingan rakyat dan kepentingan negara.
“Saya hadir semula kerana saya gunakan platform perpaduan ini untuk memperkukuh kerajaan dan memberikan manfaat kepada rakyat.
“Saya tentunya rasa selesa dan senang kerana sudah biasa dengan suasana itu termasuk menghafal lagu UMNO,” katanya ketika mahu meninggalkan perkarangan Pusat Dagangan Dunia (WTC).