Oleh: Syafiqah Damanhuri
PUTRAJAYA: Perdana Menteri Jepun, Shigeru Ishiba dijadualkan bertemu dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim esok.
Wisma Putra dalam kenyataan memaklumkan Ishiba dalam lawatan rasmi pertama beliau ke Malaysia akan diraikan dalam satu Majlis Sambutan Rasmi sebelum menghadiri mesyuarat dua hala dengan Anwar.
Pertemuan tersebut dijangka membincangkan kemajuan hubungan dua hala Malaysia-Jepun, khususnya dalam bidang perdagangan dan pelaburan, pembangunan sumber manusia, serta kerjasama dalam sektor tenaga.
Selain itu, kedua-dua pemimpin akan bertukar pandangan mengenai isu serantau dan antarabangsa yang berkepentingan bersama, termasuk situasi di Timur Tengah.
Sesi sidang akhbar bersama akan diadakan selepas mesyuarat, diikuti dengan jamuan tengah hari yang dihoskan oleh Perdana Menteri di Kompleks Seri Perdana untuk meraikan Perdana Menteri Jepun.
Ishiba memulakan lawatan itu pada hari ini dan esok sejak memegang jawatan tersebut pada Oktober 2024.
Untuk rekod sehingga Jun 2024, Jepun melabur dalam 2,821 projek pembuatan di Malaysia dengan jumlah pelaburan RM105.2 bilion (USD30.4 bilion), yang mencipta lebih 344,996 peluang pekerjaan sekali gus kekal sebagai pelabur asing keempat terbesar dalam sektor pembuatan negara.
Pada tahun 2023, Jepun merupakan rakan dagang keempat terbesar Malaysia dengan nilai perdagangan mencecah RM156.75 bilion (USD34.41 bilion).
Antara Januari hingga November 2024, jumlah perdagangan Malaysia-Jepun mencatatkan RM140.62 bilion (USD30.67 bilion).
Hubungan diplomatik Malaysia-Jepun terus diperkukuhkan dengan penaiktarafan kepada Perkongsian Strategik Komprehensif pada Disember 2023, mencerminkan kerjasama erat dan komitmen bersama dalam pelbagai bidang.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.