Oleh: Syafiqah Damanhuri
PUTRAJAYA: Perdana Menteri Jepun, Shigeru Ishiba, yang sedang dalam lawatan rasmi dua hari ke Malaysia, menerima sambutan rasmi di Bangunan Perdana Putra, hari ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menyambut ketibaan Ishiba pada jam 9.02 pagi, sebelum lagu kebangsaan kedua-dua negara dimainkan.
Ishiba kemudiannya memeriksa pasukan kawalan kehormatan yang terdiri daripada tiga pegawai dan 103 anggota Batalion Pertama Rejimen Renjer Diraja, diketuai Mejar Arifuddin Mohd Yusuf.
Hadir bersama adalah isteri Perdana Menteri Jepun, Yoshiko Ishiba, dan isteri Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail.
Shigeru Ishiba tiba di Malaysia pada Khamis, menandakan lawatan rasmi sulungnya sejak memegang jawatan Perdana Menteri Jepun pada Oktober lalu.
Turut hadir pada majlis sambutan itu ialah Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
Selepas acara sambutan, Ishiba dan Anwar mengadakan mesyuarat dua hala untuk membincangkan kemajuan hubungan antara kedua-dua negara, khususnya dalam bidang perdagangan, pelaburan, pembangunan sumber manusia, serta kerjasama dalam sektor tenaga.
Mereka juga bertukar pandangan mengenai isu serantau dan antarabangsa yang menjadi kepentingan bersama, termasuk situasi di Timur Tengah.
Sidang media bersama dijadualkan selepas mesyuarat, diikuti dengan jamuan tengah hari yang dihoskan oleh Perdana Menteri di Kompleks Seri Perdana.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.