comscore
Tumpuan :
Nasional

PM jamin siasatan PDRM berhubung GISBH telus

KUALA LUMPUR: Kerajaan memberi jaminan akan memastikan Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengendalikan siasatan terkait dengan kegiatan GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH) secara telus, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Perdana Menteri, berkata ini termasuk memastikan 542 kanak-kanak di bawah 18 tahun yang ditempatkan di Penempatan Perlindungan Sementara diberikan akses kebajikan, kaunseling, kerohanian dan pendidikan bagi suatu tempoh sehingga selesai siasatan oleh PDRM, Jabatan Agama Islam serta Majlis Agama Negeri dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

“Mohon kepada ahli dan pendukung (GISBH) di dalam dan luar negara yang bukan di bawah siasatan untuk menghubungi pihak berkuasa bagi meluruskan segala permasalahan yang dihadapi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Nai’im Mokhtar, berkata status fahaman disyaki sesat cuba didoktrinkan GISBH sudah dibincangkan oleh Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (Jawatankuasa Fatwa MKI).

Namun, beliau berkata, keputusan yang dicapai dalam mesyuarat yang dihadiri mufti setiap negeri itu, belum boleh dikongsikan kepada umum, selagi tidak mendapat perkenan Majlis Raja-Raja (MRR) yang akan bersidang pada 23 dan 24 Oktober ini.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain, berkata serbuan ke atas 20 rumah kebajikan yang dikaitkan dengan GISBH Holding (GISBH) berhubung dakwaan eksploitasi serta penderaan kanak-kanak adalah hasil risikan dan siasatan oleh pihak polis selama enam bulan.

Beliau berkata, pihaknya menyiasat syarikat itu sejak 2011 iaitu sebelum dakwaan terhadap GISBH tular di media sosial baru-baru ini.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini