KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memberikan jaminan bahawa sebarang kenaikan tarif elektrik pada separuh kedua tahun 2025, tidak akan membeban atau merugikan komuniti perniagaan.
Menurut Pejabat Perdana Menteri dalam satu kenyataan, Perdana Menteri turut menegaskan bahawa isi rumah berpendapatan rendah akan terus tidak terjejas oleh semakan tarif yang dijadualkan bagi separuh kedua tahun 2025.
Anwar menekankan perkara terbabit ketika berucap pada Majlis Sambutan Tahun Baharu Cina 2025 anjuran Gabungan Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Malaysia (ACCCIM), di sini, hari ini.
“Pada masa ini, kerajaan memberikan subsidi elektrik kepada lebih 85 peratus isi rumah.
“Tarif asas elektrik di Malaysia ditetapkan oleh Suruhanjaya Tenaga bawah kerangka Kawal Selia Berasaskan Insentif (IBR) dan disemak setiap tiga tahun,” menurut kenyataan itu lagi.
Selain tarif asas, katanya, terdapat mekanisme Ketidakseimbangan Pelepasan Kos Bahan Api (ICPT) yang disemak setiap enam bulan.
“ICPT melaraskan kadar elektrik berdasarkan perubahan sebenar dalam kos bahan api.
“Pada Januari lalu, Tenaga Nasional Berhad (TNB) mengumumkan kerajaan sudah meluluskan kenaikan 14.2 peratus dalam tarif asas bagi tempoh 2025 hingga 2027.
“Walaupun begitu, kerajaan mengekalkan kadar tarif elektrik sebenar untuk industri dan isi rumah bagi separuh pertama tahun 2025, iaitu tiada perubahan pada kadar yang dikenakan,” katanya.
Menurut kenyataan itu, semakan tarif seterusnya akan dilakukan pada Julai 2025.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.