KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan isterinya, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail hadir ke sesi tayangan khas filem Anwar: The Untold Story di Dadi Cinema, Pavilion Kuala Lumpur, malam ini.
Filem sentuhan pengarah Indonesia Viva Westi itu dibintangi pelakon terkenal seperti Farid Kamil Zahari, yang memegang watak utama sebagai Anwar dan Hasnul Rahmat (Tun Dr Mahathir Mohamad) dengan dibantu pelakon Indonesia seperti Acha Septriasa (Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail), Piet Pagau dan Dewi Irawan.
Filem terbitan Bianglala Entertainment yang menelan belanja sebanyak RM10 juta itu dihadiri beberapa tetamu kehormat, tokoh politik, penggiat industri kreatif serta personaliti terkenal tempatan.
Turut hadir, Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil; Pengasas dan Pengerusi DMY Creation, Datuk Mohamed Yusoff; Datuk Yusof Haslam; Datuk M Nasir; Datuk Habsah Hassan, Fauziah Ahmad Daud; Dato’ Seri Siti Nurhaliza dan ramai lagi.
Majlis tayangan anjuran DMY Creation yang juga pengedar rasmi filem Anwar: The Untold Story menyaksikan Siti menyanyikan lagu runut bunyi filem berkenaan yang berjudul Menjaga Cintamu hasil ciptaan Andi Rianto dan lirik nukilan Sekar Ayu Asmara.
Filem Anwar: The Untold Story akan ditayangkan di pawagam seluruh negara mulai 18 Mei ini.