KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyampaikan sumbangan dan kelengkapan Deepavali kepada Joselyn Dewi dan keluarganya.
Menerusi catatan di Facebook, Anwar berkata sumbangan berkenaan disampaikan oleh Setiausaha Politiknya, Datuk Ahmad Farhan Fauzi, semalam.
“Saya dimaklumkan bahawa saudari Joselyn perlu memikul amanah selaku ketua keluarga selepas kematian bapa manakala ibunya pula pulang ke Filipina.
“Beliau juga perlu membesarkan dua orang adik-beradik yang masih bersekolah serta seorang adik bongsu yang menghidap autisme,” katanya.
Anwar berkata beliau telah meminta Ahmad Farhan untuk membantu memanjangkan permohonan Joselyn untuk mendapatkan kad pengenalan dengan sesegera mungkin.
Kisah Joselyn, 27, sebelum ini dilaporkan sebuah portal berita yang menceritakan mengenai sambutan suram Deepavali bersama tiga adik-beradiknya tahun ini. – BERNAMA
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.