PETALING JAYA: Datuk Seri Anwar Ibrahim menghadiri Majlis Mahabbah Ulama di Kompleks Seri Perdana, Putrajaya malam tadi.
Perdana Menteri berkata, rakyat Malaysia berpeluang mendapat manfaat kerohanian daripada Majlis Mahabbah Ulama yang disampaikan dua ilmuwan tersohor yang juga pimpinan Umum Markaz al-Jailani, Istanbul.
“Majlis kali ini menghirup manfaat kerohanian, Tausiyah Diniah yang disampaikan oleh dua orang ilmuwan tersohor, Prof Dr Habib Abdul Hamid Al-Mahdali dan Prof Dr Mehmet Fadil Ceylani (Jailani), iaitu pimpinan Umum Markaz al-Jailani, Istanbul.
“Saya berdoa dan berharap agar penganjuran majlis Mahabbah Ulama dan Majlis Ilmu di Kompleks Seri Perdana akan diberkati Allah SWT dan akan berterusan hendaknya,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Hadir sama, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar; Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr Luqman Abdullah; dan Timbalan Ketua Pengarah (Dasar), Jabatan Kemajuan Islam (JAKIM), Datuk Dr Sirajuddin Siraj.
Majlis yang diserikan dengan kehadiran rombongan Markaz al-Jailani Asia Tenggara yang berpusat di Jakarta itu turut dihadiri bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Mujahid Yusoff serta bekas Menteri Luar yang juga veteran politik, Tan Sri Syed Hamid Syed Jaafar Albar.
Datuk Seri Anwar berkata, selain tausiyah, majlis Mahabbah itu diserikan dengan bacaan Maulid Simtur Duror oleh Pengerusi Muwasolah Baina Ulama dan bacaan Hizb Al-Bahr, Al-Habib Abdullah Abdul Qader Al-Habsyee.
Perdana Menteri turut berkongsi beberapa keping foto termasuk menerima Tafsir Al- Jailani yang disampaikan Prof Dr Mehmet Fadil Al-Jailani.
Tafsir Al-Jailani edisi bahasa Indonesia itu diterjemahkan oleh Markaz Al-Jailani Asia Tenggara.