Oleh: Aslina Abu Bakar
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, hadir ke Perhimpunan 24,000 Huffaz dari seluruh negara di Masjid Wilayah Persekutuan di sini, hari ini.
Hadir sama, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar dan Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain.
Program berlangsung pada jam 11 pagi dan dijangka berakhir pada 10 malam ini berjaya mengumpul seramai 24,000 huffaz dengan pengisian pelbagai program baharu.
Antara program diperkenal tahun ini termasuk Program Eksplorasi TVET-Tahfiz yang dianjurkan di bawah naungan Majlis TVET Negara (MTVET) bertujuan menyebar luas inisiatif dan potensi bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) kepada komuniti tahfiz di Malaysia.
Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dalam kenyataan berkata, Program itu memperkenalkan bidang TVET sebagai pilihan kerjaya yang relevan dan berdaya maju kepada huffaz selain memupuk minat golongan ini melibatkan diri dalam sektor teknikal dan vokasional yang semakin berkembang.
“Antara matlamat utama program ini adalah untuk meneroka potensi kerjasama antara agensi pelaksana TVET dan institusi tahfiz.
“Pengisian program ini melibatkan pameran institusi TVET dan industri yang menawarkan program khusus untuk komuniti tahfiz, memberikan pendedahan kepada pelbagai bidang kemahiran,”katanya.
Selain itu, sesi konsultasi turut diadakanuntuk memberikan maklumat terperinci mengenai peluang latihan dan laluan kerjaya dalam bidang-bidang TVET yang sesuai dengan latar belakang pendidikan tahfiz.
“Dengan pengisian yang komprehensif, program ini diharap dapat membuka laluan baharu bagi para huffaz untuk terus cemerlang dalam dunia profesional, sambil mengekalkan identiti mereka sebagai penghafaz al-Quran.
Selain itu, Waqaf Al-Quran turut dilancarkan melibatkan pengedaran 24,000 naskah mushaf khusus untuk para huffaz.
Mushafi ini direka dengan ciri-ciri unik seperti tanda khas, sistem pewarnaan ayat, dan kertas berkualiti tinggi yang memudahkan hafalan dan semakan.
Inisiatif seperti pelancaran Waqaf Mushaf Huffazdan eksplorasi TVET-Tahfiz jelas menunjukkan langkah proaktif dalam menyokong perkembangan ilmu Al-Quran dan pendidikan teknikal bagi memastikan para huffaz teruscemerlang, berdaya saing, dan relevan dalam membina masa depan negara.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.