Tumpuan :
Nasional

PM gulung bahas Belanjawan 2024 hari ini, gariskan mekanisme gaji progresif

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dijadual  menggulung perbahasan peringkat dasar Rang Undang-Undang Perbekalan 2024 bagi Kementerian Kewangan di Dewan Rakyat, hari ini.

Perbahasan peringkat dasar mengenai Rang Undang-Undang Perbekalan 2024 bagi kementerian yang lain dilaksanakan dalam tempoh lapan hari bermula 16 Oktober, disusuli penggulungan selama empat hari mulai 30 Oktober lalu.

Anwar yang juga Menteri Kewangan dijangka memberikan penjelasan lanjut mengenai beberapa perkara yang diumumkan ketika membentangkan Belanjawan 2024 pada 13 Oktober, termasuk pelaksanaan dasar gaji progresif.

Beliau dijangka menggariskan mekanisme bagi sistem gaji progresif itu.

Sesi penggulungan hari ini juga akan menyaksikan Perdana Menteri menjelaskan usaha yang akan dilaksanakan kerajaan untuk melaraskan semula ekonomi negara ke arah   lebih kukuh, merancakkan sektor perniagaan serta mencapai keseimbangan sokongan fiskal dan perbelanjaan berhemat.

Belanjawan 2024 bertemakan ‘Reformasi Ekonomi Memperkasa Rakyat’ melibatkan peruntukan RM393.8 bilion, iaitu belanjawan tertinggi pernah dibentangkan dalam sejarah negara.

Sebanyak RM303.8 bilion diperuntukkan untuk perbelanjaan mengurus, RM90 bilion sebagai perbelanjaan pembangunan dan RM2 bilion pula bagi simpanan luar jangka.

Antara inti pati Belanjawan 2024 ialah defisit fiskal 2024 diunjurkan berkurangan kepada 4.3 peratus daripada sasaran 5.0 peratus tahun ini.

Kerajaan juga akan menguatkuasakan pelaksanaan Cukai Keuntungan Modal bagi pelupusan saham tidak tersenarai oleh syarikat tempatan berdasarkan keuntungan bersih pada kadar 10 peratus, mulai 1 Mac 2024. – BERNAMA

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini