Oleh: Mior Abdul Malek Raiyani
BAHRAIN: Malaysia menggesa ulama dan cendekiawan islam dunia bersatu menentang perpecahan mazhab dan mengambil tindakan konkrit dalam menyokong Palestin dan Syria.
Dalam satu kenyataan berani, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengecam sebarang bentuk eksploitasi perbezaan mazhab dengan memberi amaran perpecahan itu akan melemahkan perpaduan politik dan menghalang kerjasama yang diperlukan di kalangan negara-negara Islam.
Ketegasan Perdana Menteri itu disuarakan dihadapan lebih 400 ulama, pemimpin agama, ahli intelek, dan pembuat dasar dari seluruh dunia Islam pada Persidangan Dialog Intra-Islam yang berlangsung di Manama.
Anwar menjadi satu-satunya ketua negara yang dijemput berucap pada persidangan itu.
Ucapan beliau dimulakan dengan menyokong saranan Imam Besar Al-Azhar Al-Sharif, Dr Ahmed Al-Tayyeb, yang menyeru agar usaha itu dimulakan oleh ulama dan golongan elit dunia Islam, serta meminta golongan itu sentiasa berjaga-jaga, berfikir, dan bertindak sebagai satu ummah.
“Masih ada yang melihat perbezaan bukan sebagai sumber kekayaan, tetapi sebagai garis pemisah yang dimanipulasi untuk kepentingan mereka sendiri.
“Fahaman mazhab telah dijadikan senjata untuk membangkitkan ketegangan, memecahbelahkan komuniti, dan melemahkan perpaduan politik. Ia telah menghalang kerjasama antara negara-negara yang secara logik dan keperluan, sepatutnya berdiri bersama sebagai sekutu,” katanya.
Tambah Anwar apa yang berlaku di Palestin adalah kesan langsung daripada perpecahan umat Islam, sambil menyeru tindakan yang lebih daripada sekadar kecaman.
Kebergantungan ekonomi, perpecahan politik, dan kegagalan membentuk satu barisan yang kukuh telah menyebabkan rakyat Palestin terdedah kepada serangan tanpa henti.
“Kita mesti menyalurkan sumber yang jelas untuk menyokong pendidikan, penjagaan kesihatan, dan infrastruktur Palestin. Kita juga harus memperjuangkan perjuangan Palestin tanpa henti di setiap forum antarabangsa” tambahnya lagi.
Dunia Islam juga kata beliau perlu melihat masa depan Syria secara kolektif.
Tanda-tanda awal pendamaian dan usaha membina keamanan bukan sahaja memberi harapan kepada rakyat Syria tetapi juga peluang untuk seluruh ummah.
Persidangan dialog dua hari ini dihadiri Perdana Menteri pada sela lawatan rasmi atas jemputan rakan sejawatnya Putera Mahkota Salman Bin Hamad Al Khalifa, Putera Mahkota Bahrain.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.