![](https://media.buletintv3.my/2025/02/BULETIN-TV3-A-11.jpg)
Oleh: Syafiqah Damanhuri
PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa pihak berkuasa tempatan (PBT) tidak memberikan lesen berniaga bazar Ramadan kepada ejen atau wakil-wakil mereka sebaliknya diserahkan terus kepada peniaga.
Ini bagi mengelakkan ada pihak yang bertindak ‘ali baba’ bagi meraih komisyen besar.
“Ini pasal Ramadan, yang saban tahun kita tahu ada ejennya, ada komisyen besarnya. Jadi apa masalahnya untuk memberikan lesen perniagaan kepada orang yang berniaga? Dia tak melalui wakil-wakil.
“Kalau ada persatuan yang ambil berpuluh ringgit untuk pengawasan, kebersihan, itu saya faham. Tetapi dijual semula, maknanya, penjawat awam terlibat itu tahu benar dan menyokong,” katanya pada Perjumpaan Perdana Menteri bersama Warga Jabatan Perdana Menteri Bulan Februari.
Jelasya, isu itu sudah berlaku selama bertahun-tahun dan bukan sahaja di ibu negara.
“Bukan saja di Kuala Lumpur, di hampir semua kota di negara kita. Jadi saya harap dengan pelaksanaan tegas di Kuala Lumpur, dia menjadi satu contoh. Contoh pelaksanaan yang baik.
“Bayangkan orang nak berniaga bulan Ramadan untuk mendapat hasil dan upah yang lebih tinggi untuk persiapan Aidilfitri untuk keluarga. Itu masih ada toko-toko, selain daripada kadar yang ditetapkan,” ujarnya.
Anwar turut mengucapkan terima kasih kepada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) kerana mengambil sikap tegas mengenai perkara itu.
“Tapi kena pastikan siapa yang dapat lesen, dia kerja. Kalau dia pindahkan lesen itu, batal segera.
“Dan ini memerlukan keputusan dan penguatkuasaan yang baik. Saya syukur Alhamdulillah kerana kesedaran ini ada, maknanya kita mampu laksanakan,” katanya.
Turut hadir, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dr Zaliha Mustafa dan Datuk Mohd Naim Mokhtar.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.