comscore
Tumpuan :
Nasional

PM gesa pengagihan pembangunan perlu lebih holistik, beri fokus kepada warung, pusat penjaja

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim merasmikan Karnival Hari Penjaja dan Peniaga Kecil 2024 Peringkat Kebangsaan (HPPK2024) di Pusat Konvensyen PICCA di Butterworth.

Oleh: Zulfakhri Shamsul Ariffin

BUTTERWORTH: Pengagihan pembangunan perlu lebih holisitik termasuk memberikan fokus terhadap warung dan pusat penjaja kecil di kawasan sekitar perindustrian dan kawasan perumahan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, fokus itu perlu kerana majoriti pekerja bukanlah pengurusan tertinggi sesebuah organisasi sebaliknya 70 peratus hanyalah pekerja biasa.

“Pelaburan kita perlu untuk jamin pekerjaan, tetapi di sebelah kilang-kilang besar perbelanjaannya berbilion-bilion, perlu juga ada warung-warung dan pusat peniaga kecil.

“Kerana yang bekerja itu bukan semua pengurusan besar. 70 peratus (pekerja biasa) tu di bawah, pekerja kilang dan sebagainya, mereka tak akan pergi ke restoran besar, mereka akan pergi beli belah di pusat-pusat perniagaan kecil dan makan di gerai dan warung.

“Inilah sebabnya mengapa kita harus beri perhatian dan sediakan tempat perniagaan yang selesa di kawasan perindustrian dan kawasan perumahan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Karnival Hari Penjaja dan Peniaga Kecil 2024 Peringkat Kebangsaan (HPPK2024) di Pusat Konvensyen PICCA di sini hari ini.

Untuk itu, beliau meminta kementerian dan agensi terlibat untuk menyelaraskan dengan Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa) agar tidak berlaku pertindihan memandangkan Angkasa sudah mempunyai pusat pengedaran hampir di setiap daerah.

Justeru katanya, koperasi bagi persatuan penjaja dan peniaga kecil yang boleh digabungkan perlu dibuat untuk mengurangkan kos pengurusan dan pentadbiran.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini