comscore
Tumpuan :
Nasional

PM dijangka umum rombakan Kabinet esok

Foto hiasan

Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dijangka mengumumkan rombakan Kabinet Kerajaan Perpaduan esok.

Bagaimanapun, sumber berkata, perkara itu akan diumumkan sekiranya senarai anggota Jemaah Menteri terbabit mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

“Ya (rombak Kabinet esok), apa pun kena tunggu perkenan Yang di-Pertuan Agong,” menurut sumber.

Sekiranya Yang di-Pertuan Agong memberi perkenan, anggota Kabinet dijadual mengangkat sumpah di Istana Negara pada jam 2.30 petang.

Malah, jadual liputan agensi berita rasmi, BERNAMA memaparkan Yang di-Pertuan Agong berkenan berangkat ke Istiadat Pengurniaan Surat Cara Perlantikan serta Istiadat Mengangkat Sumpah Jawatan dan Setia Sumpah Simpan Rahsia oleh Menteri Persekutuan di Istana Negara pada jam 2.30 petang esok.

Sebelum ini, Anwar membayangkan rombakan Kabinet akan dibuat sebelum akhir tahun ini.

Ura-ura berhubung rombakan Kabinet hangat diperkatakan sejak Julai lalu terutama selepas pemergian Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub yang menerajui Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).

Ketika ini, jawatan menteri terbabit disandang Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-Tugas Khas), Datuk Armizan Mohd Ali.

Selain itu, spekulasi rombakan kabinet bertiup kencang dengan Perdana Menteri dijangka melakukannya selepas Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai di Pahang pada 7 Oktober lalu, bagaimanapun ia meleset.

Terbaharu pada 5 Disember lalu, Anwar pada program wawancara khas Setahun Bersama Kerajaan Madani: Tiwikrama Perdana Menteri terbitan TV3 dilapor berkata, rombakan Kabinet perlu diadakan sekiranya prestasi jemaah menteri meleset atau jika terdapat keadaan yang menuntut ia dilaksanakan.

Bagaimanapun, beliau berkata, tempoh masa setahun pentadbiran Kerajaan Perpaduan masih terlalu awal untuk membuat penilaian yang adil dan menteri-menteri perlu diberikan peluang untuk memperbaiki serta meningkatkan prestasi.

Jelasnya, kerajaan pada hari ini terbentuk daripada gabungan parti, maka setiap keputusan perlu dirunding, dengan penyertaan harus setimpal dan mengambil kira kekuatan parti masing-masing.

Kabinet Kerajaan Perpaduan pimpinan Anwar ditubuhkan sejak 2 Disember tahun lalu, membariskan 28 menteri dan 27 Timbalan Menteri.

Loading...
Terkini