comscore
Tumpuan :
Nasional

PM dijangka umum insentif, pengecualian cukai JS-SEZ dalam belanjawan 2025

FOTO: NSTP

JOHOR BAHRU: Insentif berhubung pelaksanaan inisiatif Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) dijangka akan diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada pembentangan Belanjawan 2025.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, perkara itu akan dibincangkan jemaah menteri dalam waktu terdekat.

“Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi ada bertanya mengenai insentif sempena JS-SEZ, antara permintaannya termasuk ’tax holiday’ (pengurangan atau penghapusan sementara cukai). Mungkin itu boleh dipertimbangkan.

“Saya akan sampaikan pesanan itu kepada Perdana Menteri esok. Sekiranya bersesuaian beliau mungkin umumkan insentif JS-SEZ semasa pembentangan belanjawan akan datang,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Program ’Halal on Track@Johor Darul Ta’zim’ di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor di sini hari ini.

Sementara itu, Datuk Seri Ahmad Zahid dalam ucapannya ketika merasmikan program itu menyarankan pengusaha produk halal tempatan mengambil peluang terhadap pasaran domestik China melibatkan seramai 1.4 bilion penduduk.

FOTO: NSTP

“Semasa lawatan ke China baru-baru ini, Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri menyarankan supaya produk halal Malaysia turut dipasarkan di negara itu, sama ada melalui syarikat Fortune 500 atau syarikat lain.

“Ini kerana produk halal bukan sahaja bersesuaian untuk masyarakat Muslim tetapi kerana kandungan, proses dan kebersihannya melalui ujian saintifik, ia turut diterima penganut bukan Islam di negara itu,” katanya.

Sementara itu, Datuk Onn Hafiz dalam ucapannya berkata, antara industri yang difokuskan kerajaan negeri dan persekutuan menerusi JS-SEZ adalah industri halal.

“Tidak lama lagi, perjanjian antara Malaysia dan Singapura mengenai JS-SEZ akan ditandatangani, dijangka berlangsung pada September tahun ini.

“Johor juga mempunyai Iskandar Halal Park berkeluasan 4.04 hektar dengan 70 peratus daripadanya telah dihuni usahawan manakala 30 peratus lagi akan diisi. Kita juga merancang untuk meluaskan lagi kawasan tersebut pada masa depan,” katanya.- BERNAMA

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini