comscore
Tumpuan :
Nasional

PM bidas pemimpin hina institusi raja

Oleh: Selwam Arjunan

SUNGAI PETANI: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim membidas pemimpin politik yang melampaui batas memperlekehkan institusi diraja dalam usaha mengaut keuntungan politik menjelang pilihan raya negeri akan datang.

Menurut Anwar, pemimpin tertentu terdesak sehingga sanggup mengheret institusi raja kerana telah sedar bahawa mereka gagal membawa perubahan yang bermakna dan tidak memenuhi keperluan rakyat ketika diberi amanah mentadbir kerajaan.

“(Pemimpin) bukan setakat berbicara sahaja tapi kena amalkan. Nak cakap pasal ekonomi desa ini, kalau (niat) nak cakap sahaja, macam mana nak jaga rakyat?

Asyik caci, maki, hentam saja. Sindir Perdana Menteri hari-hari, balun teruk. Sehingga raja pun sanggup hentam. Negara ini ada undang-undang. Bukan negara hukum belantara. Ada yang boleh buat, ada yang tak boleh buat,” katanya ketika berucap merasmikan Mini Karnival Usahawan Desa Peringkat Negeri Kedah, di sini tengah hari tadi.

Turut hadir, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi; Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu dan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Zuki Ali.

Katanya, beliau sedia menerima kritikan yang konstruktif daripada mana-mana pihak, namun tidak wajar dilemparkan fitnah yang tidak berasas berhubung cara kepimpinannya.

Beliau dipercayai merujuk kenyataan berkenaan terhadap Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor yang dikecam pelbagai pihak kerana didakwa menghina Sultan Selangor dalam ucapan ceramahnya baru-baru ini.

Menurut Datuk Seri Anwar, pemimpin kerajaan perlu menampilkan sifat rendah diri dan beradab agar dapat memenuhi keperluan dan kehendak rakyat menerusi hubungan yang baik dengan semua pihak, khususnya kerajaan pusat.

“Bagi peluang kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri kerjasama. Buat elok-elok. Tapi ini kalau sombong tak tentu arah, asyik marah dan maki, selepas itu bila dah silap terus minta maaf.

“Sebab itu kena faham keperluan rakyat dan ambil tindakan. Kalau begitu saya akan cuba sedaya upaya untuk bantu bawa perubahan,” katanya lagi.

Sementara itu, Sanusi dalam satu kenyataan di Facebooknya awal hari berkata beliau telah menghantar warkah memohon ampun kepada Sultan Selangor berhubung insiden itu.

Tambahnya, dalam warkah itu, beliau turut menjelaskan maksud sebenar ucapannya itu yang didakwa beliau telah diputar belit kemudiannya oleh Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN).

Menurut Sanusi, beliau turut dimaklumkan oleh Pegawai Istana Selangor bahawa Sultan Selangor telahpun memberi perkenan untuk menerima dan membaca warkah beliau itu semalam (Jumaat).

Loading...
Terkini