Oleh: Kumaran Rajamoney
BUKIT MERTAJAM: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim membidas dakwaan sesetengah pihak kononnya kerajaan menyorokkan Titah Adendum yang membenarkan Datuk Seri Mohd Najib Razak menjalani baki tempoh pemenjaraan bawah tahanan rumah.
“Yang disebut adendum…surat itu dihantar kepada Peguam Negara, bukan kepada saya, bukanlah kepada ahli lembaga pengampunan. Peguam Negara..bila Agong berganti, dia serah kepada Istana Negara kerana Agong yang pengerusikan.
“Itu keadaan dia. Bukan kita sorok. Keputusan sekadar Peguam Negara nasihat kepada YDPA yang lalu yang saya hadir masa itu ialah apa-apa keputusan, keputusan mutlak oleh YDPA tapi (dibuat) dalam mesyuarat Lembaga Pengampunan,” kata Datuk Seri Anwar pada Program Muhibbah MADANI 2025 di Bandar Perda sini hari ini.
Bagaimanapun, Najib katanya masih boleh membuat rayuan kepada Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim.
Tambahnya, isu adendum sengaja dijadikan senjata politik pembangkang dengan menjuarai Najib, meskipun di sebalik pelbagai kritikan yang dilemparkan kepada bekas Perdana Menteri itu sebelum ini.
“PAS ini punya hentam Najib ni dia kata daripada rambut sampai kaki. La ni duk berjunjung kerana semata-mata politik. Prinsip di mana, Islam tu di mana? Melayu ni di mana?”
“Datuk Seri Najib ditahan ketika pemerintahan Tun Dr Mahathir Mohamad, didakwa ketika Tan Sri Muhyiddin Yassin dan dipenjarakan ketika negara ditadbir Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob. Yang salah Anwar Ibrahim, ini kerja apa” katanya.
Sebelum ini, Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) Jabatan Perdana Menteri (JPM) sebagai Urus Setia kepada Lembaga Pengampunan dalam satu kenyataan menjelaskan tidak menerima sebarang pemakluman atau arahan rasmi dari pihak Istana Negara berhubung dokumen tambahan atau adendum berkait Najib.
Sehubungan itu, BHEUU menegaskan sebarang kenyataan yang boleh mengelirukan orang ramai mengenai kedudukan atau peranan Lembaga Pengampunan adalah tidak wajar dan berpotensi mengundang tindakan sewajarnya.
BHEUU juga menegaskan, langkah terbabit penting bagi memastikan integriti Lembaga Pengampunan terpelihara serta maklumat tepat dapat disampaikan kepada masyarakat.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.