comscore
Tumpuan :
Nasional

PM bertemu umat Islam di Jerman

 

Foto: Anwar Ibrahim/ Facebook

BERLIN: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengambil kesempatan sempena bulan Ramadan untuk bertemu umat Islam di Jerman.

Datuk Seri Anwar, yang tiba di sini pada Ahad untuk lawatan rasmi, menyertai jemaah di Masjid Sehitlik untuk  menunaikan solat Isyak dan Tarawih.

Ketibaan Perdana Menteri disambut oleh Duta Besar Turkiye ke Jerman Ahmet Başar Şen.

Beliau kemudian meluangkan masa beramah mesra dengan komuniti Islam terbabit.

Antara isu yang dibincangkan ialah pembangunan umat Islam di Jerman dan situasi yang menimpa warga Palestin di Gaza.

“Perdana Menteri dan komuniti Islam juga menyatakan pendirian bahawa penderitaan warga Palestin ini mesti dihentikan serta-merta,” kata seorang diplomat Malaysia.

Foto: Anwar Ibrahim/ Facebook

Perdana Menteri juga menyampaikan sumbangan kepada komuniti Islam sempena bulan Ramadan.

Beliau turut menyumbangkan 12 naskhah al-Quran dengan sebuah daripadanya adalah Cetakan Khas, sebuah lagi Terjemahan Bahasa Jerman manakala 10 ialah Terjemahan Bahasa Inggeris kepada pengurusan masjid.

Terdapat kira-kira 5.5 juta umat Islam menetap di Jerman, yang mewakili 6.6 peratus populasi dan merupakan kumpulan agama kedua terbesar di negara itu.

Foto: Anwar Ibrahim/ Facebook

Pada sidang media bersama Canselor Jerman Olaf Scholz di Berlin pada Isnin, Datuk Seri Anwar mengkritik negara Barat kerana gagal mengambil tindakan tegas terhadap kekejaman Israel di Gaza.

Menurut Perdana Menteri, dasar dan kekejaman Israel terhadap Palestin selama berdekad-dekad adalah punca utama kepada konflik yang berterusan.- BERNAMA

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini