Tumpuan :
Nasional

PM bertemu Li Qiang, bincang hubungan dua hala

Datuk Seri Anwar dan rakan sejawatnya, Li Qiang di The Grand Hall Shanghai, hari ini.

Oleh: Afrina Romzi

SHANGHAI: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan Malaysia dan China kini seperti ‘sahabat yang hebat’, tatkala kedua-dua negara meraikan ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik.

Semasa pertemuan dengan rakan sejawatnya, Li Qiang di The Grand Hall, beliau berkata menjelang kepengerusian ASEAN 2025, Malaysia berpendirian bahawa China dan ASEAN harus kekal bekerjasama.

Ia sekali gus membantu merancakkan ekonomi di rantau ASEAN.

“Saya fikir keadaan berjalan dengan baik dan kita telah berkembang ke semua bidang.

“Malah kerjasama dalam sektor ekonomi, sosial, Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), persefahaman ketenteraan, serta kerjasama dalam melindungi sempadan kedua-dua negara.

“Kita kini adalah dua sahabat yang hebat, dan saya tidak sabar apabila Malaysia menyandang jawatan Pengerusi ASEAN, seperti yang saya nyatakan untuk menunjukkan bahawa kita harus bekerjasama, China-ASEAN, dan membantu mengembangkan ekonomi Asia,” katanya.

Hadir sama adalah Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan dan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz.

Dalam pertemuan yang berlangsung kira-kira 30 minit, Anwar turut mengadakan mesyuarat dua hala bersama Li bagi memperkukuhkan lagi hubungan dua hala antara Kuala Lumpur-Beijing.

Kedua-dua pemimpin membincangkan penerokaan bidang baharu yang boleh memberikan situasi menang-menang untuk Malaysia dan China.

Selain itu, Anwar berkata lawatan Li ke Putrajaya pada Jun lalu adalah detik yang cukup signifikan, bukan sahaja kepada beliau dan kerajaan, tetapi juga kepada rakyat Malaysia.

“Anda telah memenangi hati ramai rakyat Malaysia. Anda menghabiskan banyak masa untuk bertukar idea dengan begitu ramai komuniti perniagaan Malaysia, orang ramai, serta ahli akademik.

“Ia pasti itu berita baik untuk saya. Selama berminggu-minggu media akan membuat liputan bahawa anda boleh menjadi ‘saingan’ kepada Perdana Menteri Malaysia,” katanya secara berseloroh.

Anwar dalam masa sama menyaksikan pertukaran dokumen antara Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) dan Kerajaan China berkaitan inisiatif ‘Belt and Road’ (BRI) serta memorandum persefahaman (MoU) antara Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) dan China Media Group.

Perdana Menteri kini dalam lawatan rangka lawatan kerja ketiga ke China yang bermula 4 November hingga 7 November.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini